KUALA LUMPUR 27 Nov – Kossan Rubber Industries Bhd mencatat lonjakan untung bersih sebanyak 28.5 peratus kepada RM37.83 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (Q3 2025), berbanding RM29.44 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, hasil kumpulan merosot 13.5 peratus kepada RM438.98 juta bagi suku tersebut berbanding RM507.39 juta dalam Q3 tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kossan berkata, semua divisi merekodkan penurunan hasil dengan jumlah pendapatan suku tahunan sebanyak RM439.0 juta, menyusut 13.48 peratus berbanding RM507.4 juta pada Q3 2024.
Untung sebelum cukai (PBT) bagi Q3 2025 turut meningkat kepada RM45.0 juta berbanding RM39.7 juta pada Q3 2024, sejajar dengan peningkatan kecekapan operasi dan kawalan kos.
Bagi tempoh sembilan bulan, Kossan merekodkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM104.64 juta berbanding RM92.33 juta pada tahun lalu, walaupun hasil merosot kepada RM1.31 bilion daripada RM1.39 bilion sebelum ini.
Mengulas prospek, Kossan berkata ketidaktentuan berhubung dasar tarif Amerika Syarikat serta tekanan persaingan yang berterusan, khususnya daripada pengeluar China, dijangka terus mempengaruhi dinamik harga dan sentimen pelanggan dalam jangka pendek.
Namun begitu, syarikat kekal komited untuk memperkukuh pendekatan berdisiplin dalam pengurusan kapasiti, meningkatkan kecekapan operasi serta mengekalkan pembezaan kualiti produk bagi mengekalkan daya saing.
“Dengan kunci kira-kira yang berdaya tahan serta keupayaan pengeluaran yang tangkas, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi ketidaktentuan pasaran sedia ada sambil kekal responsif dalam merebut peluang daripada pemulihan global yang beransur-ansur,” katanya.
Dalam pada itu, Kossan menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi divisi produk getah teknikal (TRP) akan dapat dikekalkan pada suku akan datang.
Bagi divisi bilik bersih (cleanroom) pula, syarikat menjangkakan prestasi yang stabil dan kekal yakin mampu mencatat keputusan yang memuaskan bagi FY25. - DagangNews.com








