KUALA LUMPUR 1 Ogos — LBS Bina Group Berhad masih mampu mencatatkan pendapatan stabil walaupun kos projek pembangunan Kwasa Damansara besar, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, harga pembelian tanah pertanian berkeluasan kira-kira 78 hektar yang bernilai RM1.216 bilion itu turut dilihat sebagai adil dengan situasi pasaran semasa di Selangor sendiri.
Tambahnya, lokasi 11 lot untuk projek hartanah itu terletak secara strategik dalam perbandaran yang berstatus pegangan bebas dengan kumpulan tersebut memperoleh hak eksklusif selama tempoh 14 tahun.
"Kami positif menilai perjanjian hak pembangunan (DRA) dimeterai LBS dengan Kwasa Land Sdn Bhd yang akan membina 2,922 unit kediaman di kawasan dikenali PJ West," kata PublicInvest dalam notanya.
Pada 30 Julai 2025, LBS menerusi anak syarikatnya, LBS Kwasa Damansara Sdn Bhd bekerjasama dengan Kwasa Land membina perumahan termasuk kondominium bertingkat rendah dan sederhana di lokasi itu.
Setakat ini, Kwasa Land, anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai DRA dengan 17 pemaju membangunkan 394 hektar tanah serta nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM40 bilion.
Mengulas lanjut, PublicInvest berkata, harga tanah berkenaan yang diperoleh LBS juga disifatkan munasabah iaitu kira-kira 15 peratus daripada anggaran GDV kawasan berkenaan sebanyak RM8.3 bilion.
"Kami faham menerusi DRA itu, harga secara progresif dalam tempoh 10 tahun, dengan pembayaran pukal pertama pada Julai 2026 dan membolehkan kumpulan ini membangunkan fasa awal," kata firma tersebut.
Pendekatan berkenaan juga tambahnya, memudahkan LBS mengitar semula keuntungan untuk membiayai kos modal pembangunan pada masa hadapan dan ia percaya kunci kira-kira syarikat tidak akan terjejas.
Walaupun komitmen modal untuk urusan tanah adalah besar, PublicInvest namun berkata, butiran yang terperinci mengenai projek hartanah terbaharu kumpulan tersebut masih belum lagi didedahkan.
LBS katanya, menjangkakan projek itu akan dimulakan pada 2027 dengan mungkin mengambil masa 14 tahun untuk disiapkan dan firma berkenaan mengekalkan anggaran hasil tidak berubah buat masa ini.
"Berdasarkan perkembangan tersebut, kami terus dengan pendirian 'outperform' ke atas potensi saham kumpulan ini dengan harga sasaran tidak berubah kepada 67 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com








