Kontrak terkini diraih di Jerman, Kelington mampu lepasi rekod tender Eropah pada FY22 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak terkini diraih di Jerman, Kelington mampu lepasi rekod tender Eropah pada FY22 - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Ogos — Kelington Group Berhad mampu melepasi rekod pelbagai tender kerja diraih di Eropah yang pernah dicapai kumpulan berkenaan pada tahun kewangan 2022, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kejayaan yang diperoleh menerusi kontrak di Dresden, Jerman dan bernilai 50 juta euro (RM244 juta) itu tidak mustahil mengatasi pencapaiannya lebih tiga tahun lalu.

 

Tambahnya, ia turut positif terhadap perkembangan terbaharu itu, meskipun hanya dianggap sebagai kerja untuk projek sambungan semikonduktor pertama yang diterima syarikat tersebut di Eropah pada tahun ini.

 

"Secara keseluruhan, setakat akhir Mei 2025, Kelington sebenarnya sudah mencatatkan buku tender di Eropah yang berjumlah kira-kira RM2.5 bilion," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.

 

Sekiranya dilihat daripada kemenangan terbaharu itu pula tambah firma tersebut, tempahan yang diperoleh kumpulan berkenaan mencecah RM800 juta dengan suku pertama 2025 sebanyak RM390 juta.

 

Bagaimanapun, memandangkan lebih banyak hasil tender dijangka diketahui menjelang akhir suku ketiga dan keempat tahun ini, jumlah penambahan tempahan FY25 kemungkinan akan melebihi RM1.1 bilion.

 

Sehubungan itu, RHB Research menaikkan andaian penambahan buku tempahan kepada RM1.8 bilion pada tahun ini namun tidak meramalkan sebarang perubahan kepada FY26 sehingga FY27 buat masa ini.

 

"Kami bagaimanapun meningkatkan unjuran pendapatan teras Kelington dari FY25 sehingga FY27 yang masing-masing berpotensi sebanyak 11 peratus, 12.7 peratus dan 4.5 peratus," kata firma tersebut.

 

Antara tender projek penting dengan keputusan yang akan diketahui tidak lama lagi termasuk projek usaha sama terbesar di Taiwan dan syarikat fabrikasi terkemuka Eropah berpangkalan di Jerman.

 

RHB Research meramal ia mampu mencecah jumlah RM1.5 bilion iaitu 30 peratus daripada keseluruhan buku tender baharu, di samping potensi satu lagi kontrak fabrikasi di India bernilai RM292 juta.

 

Sekiranya direkodkan kesemua kontrak yang diperoleh, buku tender Kelington setakat akhir Mei 2025 sudah mencecah sebanyak RM5 bilion yang menawarkan tempahan kukuh sepatutnya sehingga FY27.

 

"Berdasarkan perkembangan yang positif ini, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM5.40 berbanding RM4.30 sebelum ini," katanya. - DagangNews.com