Kontrak terbaharu lonjak buku tempahan MN kepada RM1.1 bilion, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak terbaharu lonjak buku tempahan MN kepada RM1.1 bilion, kata Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kejayaan MN Holding Berhad meraih kontrak terbaharu sebanyak RM36.9 juta melonjakkan jumlah buku tempahan tertunggaknya kepada RM1.1 bilion, memberikan kejelasan hasil yang kukuh sehingga FY27, kata Phillip Capital.

 

Dengan andaian margin untung bersih sebanyak 10%, firma penyelidikan menganggarkan kontrak baharu itu akan menyumbang keuntungan hampir RM4 juta, mewakili 7% daripada unjuran pendapatan FY26. 

 

"Difahamkan Pelanggan A sedang dalam proses memuktamadkan pengembangan bagi dua plot pusat data tambahan di Johor, yang dijangka berlaku pada tahun pada 2026.

 

"Memandangkan hubungan jangka panjang MN dengan pelanggan tersebut, kami menjangkakan syarikat itu akan mempunyai hak keutamaan untuk pakej infrastruktur utiliti, yang dianggarkan bernilai RM250 juta.

 

"Selain itu, saluran tender kumpulan kekal kukuh pada RM1.9 bilion merentas pelbagai sektor, termasuk pusat data (45%), Tenaga Nasional Berhad (36%), solar (8%), air dan pembetungan (2%), dan lain-lain (9%)," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MN terima kontrak RM36.9 juta kejuruteraan pencawang pusat data di wilayah selatan

 

Firma penyelidikan itu menyukai MN sebagai proksi kepada perkembangan infrastruktur tenaga Malaysia serta pendedahan strategik dalam sektor pusat data dan solar yang sedang berkembang pesat.

 

Kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa risiko termasuk pelaksanaan projek yang lebih perlahan daripada jangkaan yang boleh menjejaskan penambahan buku pesanan serta kelewatan yang tidak dijangka.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan kumpulan, memandangkan kemenangan kontrak ini berada dalam jangkaan.

 

"Kemai mengekalkan penarafan "beli" dengan harga sasaran RM1.72 sesaham," katanya.- DagangNews.com