KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kemenangan kontrak mengurus sistem letak kereta ITMAX System Berhad di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) disifatkan kejayaan strategik kerana Selangor adalah antara pasaran bandar terbesar di negara ini, kata Maybank IB.
Firma penyelidikan itu berkata, ia adalah tapak pertama syarikat di bawah inisiatif SIP yang bertujuan menyeragamkan sistem parkir di 12 pihak berkuasa tempatan.
"Kontrak ini melibatkan pengurusan kira-kira 30,000 petak letak kereta aktif, serta rancangan untuk memulihkan tambahan 73,000 petak yang kini tidak boleh digunakan.
"Berdasarkan anggaran awal, inisiatif ini berpotensi menjana sehingga RM18 juta hasil tahunan, dengan potensi pertumbuhan lebih tinggi apabila lebih banyak petak dibuka semula," menurut laporan terbaharu Maybank IB selepas menghadiri taklimat syarikat itu, baru-baru ini.
ITMAX menerusi anak syarikat milik 70 peratusnya Selmax telah dilantik selama 10 tahun — dengan pilihan lanjutan selama lima tahun — oleh MBSJ untuk mengendalikan dan mengurus sistem tempat letak kereta pintar serta pengurusan kompaun di seluruh Subang Jaya di bawah inisiatif Selangor Intelligent Parking (SIP) yang diterajui kerajaan negeri.
Surat Anugerah (LOA) yang diumumkan pada 1 Ogos 2025 membuka jalan buat ITMAX menembusi ekosistem mobiliti bandar di Selangor, sekali gus meletakkan syarikat itu di barisan hadapan dalam usaha pendigitalan negeri.
Menerusi perjanjian ini, hasil kutipan tempat letak kereta akan dibahagikan antara MBSJ (40%), Rantaian Mesra Sdn. Bhd (10%) dan Selmax (50%).
Susulan perkembangan ini, unjuran pendapatan ITMAX bagi tahun kewangan 2025–2027 telah dinaikkan sebanyak 2% oleh penganalisis, dan harga sasaran saham disemak naik kepada RM4.98 (daripada RM4.87), dengan saranan “BELI” dikekalkan berdasarkan penilaian PEG 1.7x yang tidak berubah.
Inisiatif SIP yang diterajui kerajaan negeri Selangor bertujuan menyeragamkan dan mendigitalkan pengurusan letak kereta di seluruh 12 PBT, melibatkan antara 330,000 hingga 400,000 petak, sekali gus menawarkan potensi pertumbuhan jangka panjang kepada ITMAX serta penyedia penyelesaian bandar pintar lain.
“Kontrak ini membuktikan keupayaan ITMAX untuk menyediakan penyelesaian mobiliti bandar berskala besar, serta mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi bandar pintar di Malaysia,” kata firma penyelidikan tersebut.
Dengan kejayaan menembusi Selangor ini, ITMAX dijangka terus giat membida kontrak-kontrak baharu di bawah inisiatif SIP, sekali gus memperkukuh trajektori pertumbuhannya dalam tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com








