KUALA LUMPUR 4 Julai — Duopharma Biotech Berhad dikhuatiri merekodkan penurunan sebanyak 57 peratus perolehan kontrak baharu pada tempoh suku kedua tahun ini, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran lemah berkenaan terutama tender pembekalan ubat daripada Kementerian Kesihatan, masih baik berbanding penyusutan 62 peratus pada 1QFY25.
Katanya, pihak pengurusan kumpulan farmaseutikal itu sendiri memang menyedari kontrak sektor awam membentuk 62 peratus daripada keseluruhan sumbangan perolehan berbanding 50 peratus pada FY24.
"Bagaimanapun, kemerosotan itu turut mencerminkan normalisasi bekalan insulin dan peningkatan tempahan yang dilihat pada 1Q25 disebabkan faktor bermusim," kata TA Securities dalam notanya.
Dari segi positif tambahnya, sumbangan insulin untuk FY25 diunjurkan melebihi RM73 juta, namun ia menjangkakan prestasi pada 2QFY25 menjadi tempoh suku ke suku (QoQ) yang secara am lebih lemah.
Ia turut merujuk pengumuman kontrak insulin diterima Duopharma baru-baru ini telah dilanjutkan kerajaan selama enam bulan lagi, berkuat kuasa dari 29 April 2025 sehingga 28 Oktober 2025.
Walaupun nilai kontrak baharu tersebut tidak pernah didedahkan, ia dianggarkan bernilai antara RM30 juta dan RM35 juta iaitu hampir separuh daripada nilai tahunan kira-kira RM62.5 juta.
"Secara berasingan, kami memahami keadaan kali ini berikutan segmen penjagaan kesihatan pengguna mencatatkan sehingga RM125 juta dalam jualan tahunan iaitu tahap terendah pada FY24," katanya.
TA Securities namun menjangkakan pemulihan direkodkan Duopharma pada FY25 berikutan pelupusan produk Vitamin C pada tahun lepas, yang akan mengurangkan keperluan untuk diskaun harga.
Selain itu, kumpulan tersebut meneroka pengeluaran gel berfungsi, bar tenaga dan makanan tambahan, sejajar dengan aliran pengguna yang semakin meningkat ke arah gaya hidup harian lebih sihat.
Sehubungan itu kata firma berkenaan, pihak pengurusan dipuji bertindak pantas membina fasiliti baharu yang dikenali K3, dengan kapasiti pembuatan Duopharma meningkat kira-kira 50 peratus.
"Lebih 90 peratus daripada produk kumpulan ini berjaya dipindahkan daripada loji K1 yang sudah tua dibina pada 1980-an dan dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun," tambahnya.
Tahap penggunaan semasa di K3 kata TA Securities, juga melebihi jangkaan, didorong oleh kontrak baharu diterima dengan Duopharma merancang mengembangkan K2 dan membangunkan loji K5.
Perbelanjaan modal bagi setiap projek ini dianggarkan mencecah 120 juta dan berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.70 sesaham. - DagangNews.com








