Kontrak domestik berpeluang melepasi RM49 bilion pada 2026, HLIB kekal 'overweight' sektor pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak domestik berpeluang melepasi RM49 bilion pada 2026, HLIB kekal 'overweight' sektor pembinaan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Julai – Momentum kukuh pelbagai projek pusat data (DC) serta infrastruktur awam dijangka melonjakkan nilai kontrak pembinaan domestik melepasi RM49 bilion sepanjang tahun ini.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), sektor hartanah namun masih berdepan dengan permintaan yang sederhana dan peningkatan kos pembinaan terus menjadi cabaran kepada pemaju untuk bertahan. 

 

Justeru firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor pembinaan dengan IJM Corporation Berhad dan Sunway Construction Group Berhad (SunCon) sebagai saham pilihan utama.

 

"Nilai kontrak pembinaan domestik naik kepada RM16.9 bilion pada 2Q26, meningkat 56% berbanding suku sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan bagi 1H26 ialah RM27.7 bilion," jelasnya dalam analisis.

 

Pertumbuhan itu ujar HLIB, didorong lonjakan projek berkaitan DC bertambah 1.3 kali ganda daripada suku sebelumnya, dan peningkatan projek sektor awam sebanyak 2.4 kali ganda dalam tempoh yang sama.

 

Antara kontrak utama yang sudah dianugerahkan ialah projek DC bernilai RM1.75 bilion kepada SunCon di Serendah, serta projek bekalan air Ulu Padas bernilai RM3.75 bilion diterajui oleh Gamuda.

 

sektor pembinaan_DagangNews2026

 

Kekuatan projek DC berjaya mengimbangi kelembapan dalam segmen pembinaan komersial dan kediaman, yang menyusut 46% berbanding suku pertama kepada RM2.7 bilion susulan pemaju masih berhati-hati.

 

"Ramai dilaporkan berdepan peningkatan kos dan sentimen pembeli rumah yang lebih lemah, dan bagi tempoh separuh kedua 2026, dengan kami menjangkakan aliran kontrak akan terus kukuh," kata HLIB.

 

Penilaian tersebut ujar firma berkenaan, disokong oleh lebih banyak projek DC berskala besar, tender LRT Pulau Pinang serta beberapa projek infrastruktur air yang dijangka dianugerahkan.

 

Antara projek yang bakal menjadi pemacu termasuk Northern Perak Water, Sungai Rasau Fasa 2 dan Langat 2 Fasa 2, dijangka menyumbang kepada peningkatan aktiviti pembinaan di seluruh negara.

 

HLIB berpandangan gabungan projek infrastruktur utama, pertumbuhan DC dan pemulihan beransur-ansur sektor perumahan akan terus menyokong permintaan terhadap kerja pembinaan sepanjang tahun ini.

 

"Sehubungan itu, kami percaya jumlah kontrak pembinaan domestik pada 2026 berpotensi melepasi RM49 bilion yang direkodkan pada 2025, didorong pelaksanaan projek berskala besar," tambahnya lagi.

 

Pada masa sama katanya, inisiatif pembangunan yang dijangka diumumkan menerusi Belanjawan 2027, turut mengekalkan prospek positif terhadap sektor pembinaan tempatan. - DagangNews.com