KUALA LUMPUR 5 Jan — Pasaran ekuiti tempatan dijangka tidak terkesan secara material susulan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas Venezuela kerana operasi tersebut bersifat pantas dan khusus serta tidak menimbulkan konflik berpanjangan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kepantasan operasi AS telah meredakan kebimbangan terhadap risiko geopolitik yang lebih besar, sekali gus mengurangkan potensi kesan negatif terhadap sentimen pelabur.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan sasaran FBM KLCI bagi 2026 pada paras 1,750 mata, bersamaan nisbah harga kepada pendapatan (PER26) sebanyak 15.2 kali.
Menurut MBSB Research lagi, bagaimanapun, pasaran tidak menolak kemungkinan berlakunya reaksi jangka pendek dalam beberapa hari terdekat, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.
"Ini kerana Venezuela merupakan negara pengeluar minyak, sebahagian pelabur mungkin menjangkakan gangguan bekalan yang berpotensi mendorong harga minyak lebih tinggi, sekali gus meningkatkan minat terhadap kaunter berkaitan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MBSB Research berkata dalam konteks ini, saham pemain huluan dijangka menjadi tumpuan. Antara pilihan utama ialah Deleum dengan saranan BELI dan harga sasaran (TP) RM1.92, serta Bumi Armada (BELI, TP: RM0.44).
Kaunter lain yang turut berpotensi mendapat perhatian termasuk Hibiscus Petroleum, Velesto, Dayang Enterprise dan Keyfield Bhd, masing-masing dengan penarafan belum dinilai (NR).
Bagi jangka sederhana, sektor perkhidmatan sokongan dan penyimpanan minyak dilihat lebih defensif dalam persekitaran harga minyak yang rendah. Dialog kekal sebagai pilihan utama dengan saranan BELI dan harga sasaran RM2.17, didorong oleh prospek perniagaan penyimpanan yang stabil.
Dalam pada itu, MBSB Research menegaskan persoalan yang lebih besar terletak pada implikasi geopolitik jangka panjang.
Katanya, Venezuela merupakan ahli BRICs dan pembekal minyak kepada China, justeru sebarang perubahan dalam landskap politik negara tersebut berpotensi mencetuskan tindak balas daripada kuasa besar lain seperti Rusia dan China.
Selain itu, kestabilan domestik Venezuela di bawah pentadbiran yang dikaitkan dengan A.S. turut menjadi faktor penting untuk dipantau, termasuk reaksi rakyat tempatan terhadap perubahan tersebut.
MBSB Research juga tidak menolak kemungkinan konflik ini menjadi pencetus kepada ketegangan geopolitik lain di peringkat global, termasuk risiko konflik Iran-Israel kembali memuncak.
Tentera AS melancarkan serangan ke atas Caracas pada awal pagi Sabtu, mengebom beberapa sasaran ketenteraan sebelum membawa keluar Maduro dan isterinya untuk berdepan pertuduhan persekutuan berkaitan penyeludupan dadah di New York. - DagangNews.com








