Kobay Technology rancang guna RM20.74 juta daripada penempatan persendirian bangunkan E&E | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kobay Technology rancang guna RM20.74 juta daripada penempatan persendirian bangunkan E&E

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kobay Technology Bhd merancang untuk menggunakan semula dana berjumlah RM20.74 juta yang sebelum ini diperuntukkan bagi pengembangan perniagaan aluminium, bagi membangunkan perkhidmatan pembuatan untuk sektor elektrik dan elektronik (E&E).

 

Syarikat itu sebelum ini mengumpul RM110.45 juta melalui penempatan persendirian sebanyak 10% yang diumumkan pada November 2021, melibatkan penerbitan 30.63 juta saham baharu. 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM20.74 juta masih belum digunakan.

 

Setakat ini, Kobay Technology telah membelanjakan RM39.3 juta bagi membina loji pengeluaran aluminium baharu di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

 

Ia jauh daripada peruntukan asal sebanyak RM60 juta.

 

Peruntukan lain iaitu RM50 juta untuk bayaran balik pinjaman bank dan RM450,000 bagi kos penyenaraian kekal tidak berubah.

 

"Perubahan ini dibuat berdasarkan keputusan strategik kumpulan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan perkhidmatan pembuatan dalam sektor E&E dalam tempoh lapan bulan," kata Kobay Technology dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Jelasnya, langkah itu tidak akan menjejaskan rancangan asal syarikat untuk memastikan loji aluminium mempunyai kapasiti mencukupi bagi memenuhi permintaan pelanggan sedia ada dan baharu.

 

Segmen pembuatan Kobay Technology meliputi kejuruteraan berketepatan tinggi, rumusan automasi, pembuatan komponen mesin dan fabrikasi struktur logam berat. 

 

Syarikat tersebut berkhidmat untuk pelbagai industri termasuk semikonduktor, E&E, aeroangkasa, perubatan dan sains hayat, serta minyak dan gas. - DagangNews.com