KUALA LUMPUR 19 Ogos - KNM Group Bhd mengumumkan pelan komprehensif untuk keluar daripada status PN17 menerusi cadangan Pelan Regularisasi, susulan sokongan padu yang diterima daripada para pemiutang terhadap Skim Pengaturan (SoA) – pencapaian utama dalam usaha pemulihan kewangan syarikat.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, kedua-dua pelan itu saling bergantung dan menyediakan kerangka penyelesaian hutang yang adil serta mampan kepada semua pihak berkepentingan, sekali gus membuka jalan kepada KNM untuk kembali stabil dan berkembang.
Pelan Regularisasi menekankan kepentingan pelupusan DKNM Group yang bernilai €270 juta (lebih RM1.3 bilion), menjadi kunci kepada penyelesaian hutang KNM.
Menurut SoA, pemiutang bersetuju untuk pemulihan penuh hutang berjumlah RM1.188 bilion, dengan jumlah faedah dan penalti sebanyak RM320 juta yang diketepikan setakat 31 Disember 2024.
Tambahan pula, pemiutang bersetuju memberi pinjaman baharu sebanyak RM100 juta, disertai terbitan bon tanpa kupon berjumlah RM204 juta yang boleh ditebus dalam tempoh lima tahun.
Dana ini akan digunakan sebagai modal kerja untuk menggiatkan semula operasi fabrikasi KNM di Malaysia.
Hasilnya, nisbah hutang KNM dijangka merosot kepada 0.01 kali berbanding 3.3 kali sebelum ini, berdasarkan angka pro forma 31 Disember 2024.
BERITA BERKAITAN: KNM terima kelulusan pemiutang bagi skim penyelesaian hutang RM1.18 bilion
Pelan tersebut turut melibatkan pengurangan modal saham dan penyatuan saham, sekali gus menghapuskan kerugian terkumpul RM1.7 bilion dan menukar imbangan rizab terkumpul kepada RM240 juta. Nilai aset bersih pula dijangka meningkat kepada RM284 juta.
Selepas pelaksanaan penuh Pelan Regulasi, nilai aset bersih sesaham akan menjadi sekitar RM0.47, berdasarkan 1.0 bilion saham terkonsolidasi berbanding 4.0 bilion saham ketika ini.
Pengerusi KNM, Tunku Datuk Yaacob Khyra, berkata pelan tersebut adalah langkah penting yang meletakkan KNM kembali ke landasan normal dengan asas kewangan yang lebih kukuh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KNM, Ravindrasingham Balasingham, menegaskan sokongan berterusan pemiutang dan pemegang saham akan memastikan kejayaan pelan pemulihan ini.
“Modal kerja RM100 juta adalah kritikal untuk menghidupkan semula operasi kami. Keutamaan segera adalah menyempurnakan pelupusan DKNM kepada NGK dalam tempoh yang dipersetujui, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pemulihan KNM,” katanya.
Dengan keyakinan baharu daripada lebih 33,000 pemegang saham dan kira-kira 500 pemiutang, pengurusan KNM yakin syarikat akan berjaya melangkah keluar daripada status PN17 dan kembali menjana keuntungan mampan. - DagangNews.com








