KNM Group Bhd peroleh kemudahan kredit baharu untuk teruskan operasi, fokus pemulihan kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KNM Group Bhd peroleh kemudahan kredit baharu untuk teruskan operasi, fokus pemulihan kewangan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Feb - Syarikat berstatus PN17, KNM Group Bhd masih dalam proses merangka pelan untuk memperbaiki keadaan kewangannya.

 

KNM pada 17 Disember 2024 mengumumkan, anak syarikatnya, Borsig GmbH dan Deutsche KNM GmbH, bersama syarikat lain dalam Kumpulan Borsig, telah menandatangani perjanjian baharu dengan Landesbank Baden-Württemberg dan beberapa institusi kewangan lain.

 

Kemudahan kredit tersebut membolehkan Kumpulan Borsig terus menjalankan operasi seperti biasa.

 

"Kumpulan juga sedang dalam proses mengenal pasti pengganti untuk penasihat utamanya sebelum ini, M&A Securities Sdn Bhd, yang meletakkan jawatan pada 22 Oktober 2024," katanya dalam pengumuman yang dibuat kepada Bursa Malaysia.

 

Dalam laporan tahunan 2023 yang dikeluarkan pada April 2024, syarikat yang mencatatkan kerugian tersebut menyatakan bahawa M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama untuk membantu merangka pelan pemulihan yang akan dikemukakan kepada Bursa Malaysia.

 

Pada November 2024, Bursa Malaysia Securities telah memberi KNM lanjutan masa selama enam bulan sehingga 30 April 2025 untuk mengemukakan pelan pemulihan kepada pihak berkuasa pengawalseliaan.

 

Pada 31 Oktober 2022, syarikat itu menjadi penerbit yang terjejas di bawah status PN17 mengikut Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(e) dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.

 

Sementara itu, dalam pemfailan berasingan, syarikat berstatus PN17 yang lain, Meridian Bhd berkata, ia juga sedang merangka pelan pemulihan untuk mengatasi keadaan kewangannya.

 

Pemaju hartanah itu berkata, Bursa Malaysia telah memberikan lanjutan masa sehingga 25 Mac 2025 untuk mengemukakan pelan tersebut kepada pihak berkuasa pengawalseliaan yang berkaitan.

 

"Maklumat lanjut akan diumumkan apabila terdapat sebarang perkembangan berkaitan," katanya. - DagangNews.com