KLCI susut susulan pengambilan untung, saham perbankan tekan pasaran - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI susut susulan pengambilan untung, saham perbankan tekan pasaran - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 JanFBM KLCI ditutup rendah pada sesi dagangan semalam apabila aktiviti pengambilan untung berlaku seperti dijangkakan selepas penunjuk teknikal RSI memasuki zon terlebih beli berikutan kenaikan ke paras tertinggi baru-baru ini, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, Indeks penanda aras itu merosot 13.27 mata atau 0.77% untuk ditutup pada 1,699.06 mata, dengan tekanan jualan tertumpu kepada saham-saham perbankan utama yang sebelum ini mencatatkan prestasi kukuh.

 

"Antara penyumbang utama kepada penurunan indeks ialah CIMB Group Holdings Bhd, Public Bank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd, yang masing-masing berdepan aktiviti ambil untung selepas fasa kenaikan mendadak," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sentimen Pasaran Melemah

Lebar pasaran kekal negatif, dengan 786 kaunter mencatat kerugian berbanding 296 kaunter untung, mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur.

 

Kelemahan KLCI turut memberi kesan berantai kepada pasaran yang lebih luas, apabila tiada sektor mencatatkan kenaikan pada sesi tersebut.

 

Walau bagaimanapun, Maybank IB menegaskan bahawa situasi ini tidak membimbangkan dan dilihat sebagai satu fasa pengukuhan pasaran yang sihat selepas kenaikan sebelum ini.

 

“Kebanyakan sektor seperti pengguna, perladangan, REIT dan hartanah hanya beransur-ansur menyusut daripada paras terlebih beli, sejajar dengan pergerakan teknikal pasaran,” menurut firma itu.

 

Bagi sesi dagangan hari ini, FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,690 mata hingga 1,710 mata, dengan paras sokongan terdekat pada 1,685 mata manakala sokongan seterusnya berada di sekitar 1,640 mata sekiranya tekanan jualan berterusan. - DagangNews.com