KLCI: Saham perindustrian, perladangan saksikan aliran menaik - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI: Saham perindustrian, perladangan saksikan aliran menaik - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Feb - Indeks penanda aras FBM KLCI ditutup lebih tinggi pada akhir dagangan apabila aktiviti pengambilan untung dalam beberapa saham berkapitalisasi besar berjaya diimbangi oleh peralihan minat pelabur ke kaunter-kaunter yang sebelum ini ketinggalan.

 

Bagaimanapun, kelemahan berterusan dalam segmen saham berkapitalisasi sederhana dan kecil mencerminkan kecenderungan peserta pasaran yang masih berhati-hati, dengan tumpuan kekal kepada saham berkapitalisasi besar yang dilihat lebih defensif dalam persekitaran pasaran semasa.

 

Pada penutupan dagangan, KLCI meningkat 7.38 mata atau 0.42% kepada 1,748.26 mata. Saham AXIATA, Public Bank (PBBANK) dan Press Metal Aluminium (PMETAL) muncul sebagai peneraju utama kenaikan indeks.

 

Dari segi keluasan pasaran, sentimen kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 662 berbanding 464. Hanya lima sektor berjaya ditutup dalam wilayah positif, menandakan kekuatan pasaran yang masih terhad.

 

Dalam pada itu, Maybank IB melihat aliran menaik dalam sektor produk perindustrian dan perladangan kekal konstruktif dan berpotensi untuk disambung semula, menjadikan kedua-dua sektor tersebut antara yang wajar dipantau oleh pelabur dalam keadaan pasaran yang berhati-hati.

 

Bagi sesi dagangan seterusnya, KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,740 hingga 1,760 mata. Paras sokongan utama indeks dikenal pasti pada 1,685 mata dan 1,640 mata, dengan pergerakan pasaran dijangka terus dipengaruhi oleh sentimen global dan aktiviti penggiliran sektor. - DagangNews.com