KUALA LUMPUR 12 Dis – FBM KLCI kembali menunjukkan keteguhan apabila ditutup lebih kukuh di atas semua purata pergerakan utamanya, dipacu oleh momentum positif dalam beberapa saham perbankan utama.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam analisa pasaran hari ini berkata, pada penutupan dagangan semalam, KLCI mengukuh 14.39 mata atau 0.89% untuk mencecah 1,625.39 mata.
Tiga kaunter yang menjadi peneraju kenaikan ialah CIMB, AXIATA dan Public Bank (PBBANK), sekaligus menyumbang kepada pemulihan indeks.
Namun, sentimen keseluruhan pasaran kekal bercampur apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 594 berbanding 490, menandakan pelabur masih berhati-hati meskipun indeks utama menunjukkan pengukuhan.
Sektor kewangan pula terus mengekalkan momentum positif apabila ia kini membentuk corak bullish flag, walaupun petunjuk teknikal menunjukkan momentum hampir memasuki zon terlebih beli.
Maybank IB melihat perkembangan ini sebagai tanda kekuatan berterusan dalam perbankan, tetapi mengingatkan potensi pembetulan kecil jika momentum menjadi terlalu panas.
Dalam masa yang sama, sektor tenaga mula mencuri perhatian apabila julat pergerakan mendatarnya kini condong ke arah trend bullish, susulan penutupan sektor tersebut di atas paras EMA 21 hari.
Dua saham yang menjadi tumpuan dalam sektor ini ialah Solarvest dan Dayang, yang masing-masing menunjukkan ruang kenaikan lanjutan berdasarkan struktur teknikal semasa.
Bagi pergerakan harian, penganalisis menjangkakan KLCI akan bergerak dalam lingkungan 1,615 hingga 1,625 mata, dengan paras sokongan penting kekal pada 1,550 mata dan 1,500 mata, yang dilihat mampu menampan sebarang tekanan jualan dalam masa terdekat. - DagangNews.com








