KUALA LUMPUR 15 Mei - Klasifikasi pendapatan isi rumah T20, M40 dan B40 yang digunakan di negara ini mencerminkan tahap kuasa beli rakyat Malaysia berdasarkan agihan pendapatan semasa, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata, pengelasan tersebut dibuat berdasarkan data tinjauan terperinci yang merangkumi taburan pendapatan dalam pelbagai segmen populasi.
Menurutnya, metodologi yang digunakan dibangunkan menerusi kaji selidik pendapatan isi rumah yang dijalankan secara berkala bagi memetakan agihan pendapatan serta menentukan kedudukan peratusan isi rumah.
“Pendapatan isi rumah dinilai mengikut konteks dengan mengambil kira perbezaan komitmen kewangan antara setiap isi rumah.
“Ukuran utama adalah melihat kebarangkalian dan keadaan sekeliling, khususnya ciri komitmen pendapatan isi rumah atau pendapatan boleh guna bersih,” katanya lapor FMT.
Berdasarkan ambang terbaharu yang diumumkan, isi rumah berpendapatan kurang daripada RM5,860 sebulan dikategorikan sebagai B40.
Sementara itu, isi rumah yang memperoleh pendapatan antara RM5,860 hingga RM12,679 sebulan diklasifikasikan sebagai M40.
Bagi kategori T20 pula, ia melibatkan isi rumah yang memperoleh pendapatan melebihi RM12,680 sebulan.
Perbahasan mengenai klasifikasi itu kembali hangat kebelakangan ini susulan persoalan sama ada kategori B40, M40 dan T20 masih relevan dalam mencerminkan realiti ekonomi semasa negara.
Perdebatan tersebut turut memuncak seiring perbincangan mengenai pelaksanaan subsidi bahan api bersasar oleh kerajaan. - DagangNews.com








