KKB Engineering berpotensi terima penambahan kerja sebanyak RM500 juta pada FY27 - RHB Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KKB Engineering berpotensi terima penambahan kerja sebanyak RM500 juta pada FY27 - RHB Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb - KKB Engineering Bhd diramal menerima penambahan kerja sebanyak RM500 juta pada tahun kewangan 2027(FY27) yang mampu mengukuhkan lagi hasil kumpulan, kata RHB Research.  

 

Firma penyelidikan itu juga menaikkan unjuran pendapatan tahunan kumpulan itu sebanyak 3% masing-masing pada FY25 dan FY26. 

 

Katanya, untung bersih KKB sebanyak RM26.2 juta melebihi anggaran firma tersebut, membentuk 120% daripada unjuran setahun penuhnya.

 

"Ini disokong oleh pengebilan kemajuan yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk projeknya.

 


"Kami kekal menyukai KKB kerana rekod prestasinya dengan pelanggan yang pelbagai untuk mencabangkan fabrikasi kelulinya," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 


Buku pesanan KKB kini berjumlah RM226 juta, dengan kemenangan pekerjaan baharu sebanyak RM220 juta pada FY24 dan buku tender RM254 juta dijangka pada separuh pertama 2025 (1H25).

 

Kumpulan itu juga membida untuk kontrak berkaitan minyak dan gas bernilai RM500 juta, dengan anggaran kadar kejayaan 30% sehingga 40%.

 


Oleh itu, RHB Research mengekalkan saranan "beli" ke atas saham KKB dengan harga sasaran (TP) baharu iaitu RM1.91 sesaham.

 

“Penilaian ini wajar memandangkan peningkatan belanjawan pembangunan Sarawak (RM10.8 bilion pada 2025) dan rancangan modal besar Petroleum Sarawak (RM40 bilion dalam tempoh lima tahun).

 


"Walaupun risiko kelemahan utama ialah penambahan kerja yang lebih perlahan, rekod prestasi kukuh KKB dalam projek infrastruktur utama meletakkannya dengan baik untuk mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan yang akan dating," katanya.  - DagangNews.com