KJTS umum pengambilalihan Malakoff Utilities terbatal selepas gagal penuhi dua syarat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJTS umum pengambilalihan Malakoff Utilities terbatal selepas gagal penuhi dua syarat

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Feb — KJTS Group Bhd memaklumkan cadangan pengambilalihan Malakoff Utilities Sdn Bhd (MUSB), unit penyejukan cekap tenaga milik Malakoff Corp Bhd yang diumumkan kira-kira setahun lalu, telah terbatal secara rasmi.

 

Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, perjanjian jual beli berkenaan luput selepas dua syarat terdahulu gagal dipenuhi menjelang tarikh akhir lanjutan (long stop date) pada 3 Februari lalu.

 

Di bawah terma perjanjian, Malakoff dikehendaki memulangkan semula deposit pembelian berjumlah RM6.55 juta kepada KJTS dalam tempoh lima hari bekerja.

 

Selepas itu, kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang tuntutan lanjut antara satu sama lain, kecuali berkaitan sebarang pelanggaran terdahulu.

 

KJTS berkata, luputnya perjanjian tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan atau aset bersih kumpulan.

 

Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan bahawa penggunaan baharu bagi RM44.4 juta hasil terbitan yang sebelum ini diperuntukkan untuk cadangan pengambilalihan MUSB masih belum dimuktamadkan.

 

Saham KJTS berada di bawah tekanan jualan yang ketara susulan kelewatan berpanjangan dalam melengkapkan urus niaga berkenaan.

 

Harga saham syarikat itu merosot hampir 40% minggu lalu kepada 80 sen daripada RM1.30, sebelum menyusut lagi 12.5% kepada 70 sen dalam sesi dagangan berikutnya.

 

Sejak pengumuman cadangan pengambilalihan itu, KJTS telah beberapa kali memohon lanjutan tempoh berikutan syarat terdahulu masih belum dipenuhi.

 

Dalam kemas kini terbaharu kepada penganalisis, syarikat mengakui ia tidak berupaya memenuhi tarikh akhir 3 Februari.

 

Pemerhati pasaran menyatakan KJTS sebelum ini banyak diniagakan berdasarkan jangkaan hadapan terhadap pemerolehan projek baharu.

 

Walaupun beberapa kerjasama strategik telah dimeterai, aliran perjanjian baharu dilihat terhad.

 

Sebahagian penganalisis menganggarkan MUSB berpotensi menyumbang pendapatan tahunan sehingga RM9 juta kepada KJTS. - DagangNews.com