KUALA LUMPUR 6 Mac - CIMB Securites mengekalkan saranan 'beli' untuk KJTS Group Bhd dengan harga sasaran RM1.30, berikutan prospek pertumbuhan kukuh syarikat serta kedudukannya dalam sektor kecekapan tenaga di Malaysia.
KJTS memeterai perjanjian perkhidmatan selama 20 tahun dengan KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) untuk menyediakan rumusan tenaga penyejukan di tujuh pusat membeli-belahnya.
Firma penyelidikan itu menganggarkan nilai keseluruhan kontrak sebanyak RM160 juta, memperkukuh ketelusan buku pesanan jangka panjang KJTS dan potensi pendapatan berulang.
Kontrak tersebut yang diumumkan melalui Bursa Malaysia, melibatkan kerja pengubahsuaian, perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) untuk loji penyejuk, serta bekalan air sejuk ke tujuh lokasi KIPMall.
Kerja pengubahsuaian akan bermula pada 1 April 2025, dengan sasaran siap pada 31 Disember 2025.
Perkhidmatan O&M dan bekalan air sejuk akan berjalan dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2045.
KJTS memberi jaminan pengurangan kos tenaga sebanyak 15% untuk loji penyejuk selepas pemulihan perbelanjaan modal, bersama dengan pengurangan pelepasan karbon dan penambahbaikan kecekapan tenaga.
Untuk membiayai kerja pengubahsuaian, KJTS akan melabur RM25.3 juta dalam perbelanjaan modal.
Sebagai balasan, syarikat akan mengenakan yuran asas tahunan tetap sebanyak RM400,000 (bersamaan RM32,800 sebulan) kepada KIP REIT, bersama dengan yuran berubah berdasarkan kos O&M dan penggunaan air sejuk.
Dengan kesemua tujuh lokasi beroperasi sebagai pusat membeli-belah, CIMB Securities menganggarkan permintaan harian air sejuk selama 12 jam, meramalkan pembayaran berubah sebanyak 30% daripada jumlah caj pengubahsuaian iaitu kira-kira RM7.6 juta setiap tahun.
Ini menjadikan anggaran jumlah yuran tahunan kepada RM8 juta, yang membawa kepada nilai kontrak keseluruhan sebanyak RM160 juta sepanjang 20 tahun.
CIMB Securities melihat perkembangan tersebut secara positif, menekankan bahawa ia adalah kontrak penyejukan tenaga pertama KJTS dengan REIT.
Firma penyelidikan berkenaan percaya, pencapaian itu boleh membuka peluang untuk kontrak tambahan dengan REIT lain di Malaysia, Singapura, dan Thailand, di mana KJTS turut beroperasi.
Perjanjian tersebut juga mengukuhkan ketelusan pendapatan jangka panjang KJTS, dengan pendapatan berulang menyumbang kepada kestabilan kewangannya.
Prospek pertumbuhan kukuh KJTS disokong oleh kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) EPS teras selama tiga tahun sebanyak 42.9% untuk FY24-FY27, didorong oleh peningkatan permintaan untuk rumusan kecekapan tenaga di Malaysia.
CIMB Securities melihat KJTS sebagai penerima manfaat utama daripada Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menyokong peralihan negara ke arah penggunaan tenaga lestari.
Memandangkan kekurangan saham penerima manfaat NETR yang tersenarai yang memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga, KJTS dijangka mengekalkan premium penilaian.
Dengan tiada perubahan pada ramalan pendapatan FY25-FY27, firma penyelidikan itu kekal optimis terhadap prospek KJTS.
Peranan syarikat dalam peralihan tenaga Malaysia, digabungkan dengan pengembangan kehadiran pasaran, meletakkannya sebagai proksi yang kukuh bagi inisiatif kecekapan tenaga yang semakin berkembang di negara ini. - DagangNews.com








