Kitaran kadar faedah lebih menarik, pilihan raya negeri dijangka pacu prospek sektor hartanah 2026 - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kitaran kadar faedah lebih menarik, pilihan raya negeri dijangka pacu prospek sektor hartanah 2026 - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Dis - Kadar faedah yang lebih menarik, pilihan raya negeri di Melaka, Johor dan Sarawak dijangka memacu pertumbuhan sektor hartanah pada tahun 2026, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek positif itu turut disokong tahap kecairan yang mencukupi dalam pasaran.

 

Menurut CIMB Securities, pilihan raya negeri di Johor, Melaka dan Sarawak yang perlu diadakan antara Disember 2026 hingga April 2027, berpotensi menjadi pemangkin kepada dasar serta pembangunan infrastruktur yang mampu membuka nilai tanah dan mewujudkan koridor pembangunan baharu.

 

“Peluang ini dijangka menyokong aktiviti pembangunan dan meningkatkan daya tarikan pelaburan dalam sektor hartanah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

CIMB Securities menjangkakan sektor hartanah akan mendapat manfaat ketara daripada kitaran pelonggaran kadar faedah pada 2026, dengan risiko pengetatan kecairan dalam tempoh terdekat dilihat rendah. 

 

Firma itu turut meramalkan penurunan kadar dasar sebanyak 25 mata asas pada Mei 2026, yang dijangka menyokong permintaan dan transaksi hartanah.

 

Sejajar dengan itu, CIMB Securities telah menaik taraf prospek sektor hartanah kepada “overweight”, sambil mengesyorkan pelabur memberi tumpuan kepada saham hartanah yang terlebih jual dan kurang dimiliki pasaran.

 

Antara saham pilihan dengan pemangkin pertumbuhan termasuk UEM Sunrise Bhd, S P Setia Bhd dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia).

 

UEM Sunrise disenaraikan sebagai pilihan utama sektor, memandangkan pendedahan langsungnya kepada permintaan berterusan dalam pasaran hartanah bertanah di Johor, yang merangkumi kira-kira 90% daripada bank tanah kumpulan dan sekitar 67% berdasarkan nilai pembangunan kasar (GDV).

 

Selain itu, CIMB Securities turut mengekalkan saranan BELI ke atas S P Setia, EcoWorld Malaysia dan Mah Sing Group Bhd.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengingatkan bahawa sektor hartanah masih berdepan beberapa risiko utama, termasuk peningkatan berterusan kos input dan logistik, serta kekurangan tenaga buruh asing.

 

Menurut CIMB Securities lagi beberapa pemaju terpilih giat menambah bank tanah bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang. 

 

Mah Sing, misalnya, telah memperoleh lima plot tanah baharu dengan jumlah GDV terkumpul setakat tahun ini sebanyak RM4.1 bilion.

 

Walaupun kadar penyerapan kediaman dilihat sederhana dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan pendekatan “tunggu dan lihat” oleh pembeli, CIMB Securities berpandangan kepentingan yang semakin meningkat terhadap koridor ekonomi baharu akan terus menyokong permintaan kukuh bagi hartanah perindustrian.

 

Ketika ini, kerajaan sedang merangka pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, manakala kerajaan Negeri Sembilan dan Selangor pula memberi penekanan kepada Malaysian Vision Valley 2.0 serta Koridor Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor sebagai pemacu pertumbuhan industri baharu. - DagangNews.com