KUALA LUMPUR 23 Sept – KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) melebarkan penguasaan pasarannya ke Pantai Timur dengan menyempurnakan pengambilalihan tiga aset runcit di Kuantan, Pahang, dengan jumlah nilai pembelian sebanyak RM56 juta.
Pacific Trustees Berhad, pemegang amanah kepada KIP REIT berkata, dikenali sebagai KIP Kuantan, aset tersebut merangkumi tiga hartanah saling melengkapi dalam satu pembangunan bersepadu iaitu Lotus’s Indera Mahkota, tiga unit pejabat kedai dua tingkat dan bangunan komersial KFC (pandulalu).
Katanya, pengambilalihan tersebut telah mendapat kelulusan pemegang unit dalam mesyuarat agung luar biasa pada 22 Julai 2025,
Penambahan KIP Kuantan menjadikan jumlah portfolio KIP REIT kini kepada 16 hartanah merentas Semenanjung Malaysia.

"Dengan penyempurnaan ini dan projek yang sedang menunggu penyelesaian, jumlah keluasan boleh disewa bersihportfolio kumpulan akan melebihi 3.4 juta kaki persegi, dengan nilai portfolio dianggarkan sekitar RM1.7 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengambilalihan ini memperluas jejak geografi KIP REIT ke Pantai Timur, sekaligus melengkapi strategi runcit pinggir bandar kumpulan di Lembah Klang dan Wilayah Selatan.
Disokong oleh penyewa runcit utama berimpak tinggi, KIP Kuantan dijangka menyumbang kepada pendapatan berulang yang stabil serta membuka ruang untuk pengoptimuman campuran penyewa dan penciptaan nilai jangka panjang.
Mekanisme semakan sewa automatik di Lotus’s Indera Mahkota turut memperkukuh kejelasan pendapatan serta menyokong pertumbuhan mampan portfolio KIP REIT.

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong, berkata penyempurnaan pengambilalihan ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha pertumbuhan kumpulan.
“KIP Kuantan meluaskan jejak kami ke Pantai Timur menerusi aset berkualiti tinggi yang menjana pendapatan berulang. Aset ini disokong oleh jenama runcit yang mantap dan akan terus mengukuhkan asas pendapatan kami,” katanya.
Tambah beliau, dengan penyempurnaan KIPMall Desa Coalfields sebelum ini dan kini KIP Kuantan, portfolio kumpulan telah berkembang kepada 16 aset bernilai sekitar RM1.6 bilion.
“Kami akan terus fokus kepada pengambilalihan strategik, penambahbaikan aset secara proaktif serta pengurusan modal yang berdisiplin bagi mencapai sasaran aset RM2.0 bilion dalam jangka sederhana dan memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit,” katanya. - DagangNews.com








