KIP REIT dapat kelulusan pemegang unit ambil alih 4 hartanah bernilai RM118 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KIP REIT dapat kelulusan pemegang unit ambil alih 4 hartanah bernilai RM118 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Julai — Pemegang unit amanah pelaburan hartanah (REIT) KIP memberi kelulusan pada mesyuarat agung luar biasa untuk pengambilalihan hartanah di Pahang dan Selangor bernilai RM118 juta.

 

Mereka turut menyatakan persetujuan dengan cadangan penempatan persendirian sebanyak RM132 juta untuk membiayai sebahagian daripada proses pembelian dan penambahbaikan hartanah yang seterusnya.

 

Perolehan hartanah itu meliputi KIP Mall Desa Coalfields di Sungai Buloh, Selangor dan Lotus's Indera Mahkota, serta dua bangunan komersial dalam pembangunan bersepadu di Kuantan, Pahang.

 

"Kesemua hartanah ini diunjurkan menyumbang gabungan hasil sebanyak RM11.3 juta dan pendapatan hartanah bersih kira-kira RM8 juta pada tahun pertama operasinya," kata KIP REIT dalam kenyataan.

 

Tambahnya, ini bersamaan dengan 11.7% dan 11.6% daripada masing-masing hasil tempoh sembilan bulan pertama 2025 kumpulan sebanyak RM96.2 juta serta pendapatan hartanah bersih kira-kira RM68.8 juta.

 

Perkembangan itu menonjolkan potensi pendapatan bagi pengembangan manakala aset diperoleh itu dijangka memberikan hasil awal purata sebanyak 6.8%, disokong oleh struktur pajakan jangka panjang.

 

Dengan pembelian aset berkenaan katanya, jumlah nilai portfolio KIP REIT dijangka mencecah RM1.6 bilion manakala hartanahnya merangkumi kawasan boleh disewa bersih lebih 0.32 juta meter persegi.

 

"Pada masa yang sama, penempatan persendirian kumpulan tersebut telah pun memasuki fasa pembinaan bukunya, dengan penetapan harga disasarkan dapat dilakukan pada pertengahan Ogos 2025," tambahnya.

 

Langkah terbaharu berkenaan katanya, akan menyaksikan penempatan sehingga 160 juta unit amanah baharu dengan matlamat untuk dapat mengumpul hasil pelaburan kasar kira-kira RM132 juta.

 

Daripada itu, RM106.6 juta digunakan untuk penyelesaian sebahagian pengambilalihan manakala RM21.9 juta bagi inisiatif peningkatan aset di KIPMall Tampoi dan RM3.9 juta untuk anggaran perbelanjaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, aset baharu itu menyumbang hasil berulang bermakna serta mengukuhkan kehadiran di kawasan pinggir bandar dan pertumbuhan pesat membangun.

 

"Kami berterima kasih atas sokongan padu pemegang unit selain pengembangan ini meneguhkan portfolio pendapatan runcit kami dan meningkatkan keterlihatan hasil," katanya. - DagangNews.com