Kinergy Advancement peroleh kelulusan SEDA bangunkan 2 projek hidro 8.04MW selama 21 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kinergy Advancement peroleh kelulusan SEDA bangunkan 2 projek hidro 8.04MW selama 21 tahun

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Julai — Kinergy Advancement Berhad (KAB) melalui anak syarikat milik penuhnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH), memperoleh kelulusan untuk pembangunan dua projek kuasa hidro.

 

Kumpulan penyedia rumusan kejuruteraan dan tenaga mampan itu berkata, projek terkini berkenaan di bawah inisiatif tarif galakan (FiT) 2.0 oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

 

Tambah KAB, pencapaian terbaharu itu turut menambah jumlah kapasiti terpasang sebanyak 8.04 MW, kerana terdiri daripada dua kemudahan dengan penjanaan tenaga masing-masing 5.2 MW dan 2.84 MW.

 

"Kami kini sudah mengembangkan jejak kuasa hidro dengan dua projek yang diluluskan di peringkat tempatan di bawah program FiT 2.0 ditawarkan melalui SEDA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kejayaan projek kuasa hidro mini kumpulan itu tambahnya bermula di Indonesia pada Ogos 2023 dan juga dibangunkan oleh teknologi larian-sungai yang terkenal dengan kesan alam sekitar minimum.

 

Sementara projek tempatan itu pula apabila maju, ia akan memberi manfaat daripada hasil yang boleh diramal dan berulang dalam tempoh 21 tahun melalui rangka kerja tarif berstruktur dikawal SEDA.

 

Katanya, dengan tarif RM0.34/kWj untuk 10 tahun pertama dan RM0.32/kWj bagi 11 tahun berikutnya, langkah berani KAB kini mampu menjana pertumbuhan ketara dan kehadiran tempatan yang lebih kukuh.

 

"Usaha tersebut mengukuhkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) kumpulan berkenaan setelah dirintis melalui projek pembangunan loji janakuasa hidro skala mininya di Indonesia," tambah kenyataan itu.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn, gembira berkongsi kejayaan syarikat yang mula sinergi segmen sistem sosio-alam sekitar (SES).

 

"Kami terus membuka potensi pertumbuhan portfolio tenaga mampan dan kelulusan itu mencerminkan strategi serantau sejajar komitmen kumpulan terhadap pembangunan RE di Asia Tenggara," katanya.

 

Selain itu, tambah beliau, KAB berhasrat untuk terus menyumbang kepada matlamat peralihan tenaga Malaysia, memastikan setiap inisiatif memberikan pertumbuhan ekonomi yang ketara dan mampan.

 

Inisiatif FiT 2.0 SEDA direka untuk menggalakkan pelaburan dalam RE, yang turut memacu penciptaan pekerjaan, dan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah sumber tenaga secara lebih mampan.

 

Proses pembidaan dalam talian yang telus melalui inisiatif ini telah meningkatkan penyertaan industri, keyakinan pelabur dan pembangunan infrastruktur RE di seluruh negara. - DagangNews.com