KGW Group jalin kerjasama dengan AGS dari Amerika Syarikat, perkukuh rangkaian logistik global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KGW Group jalin kerjasama dengan AGS dari Amerika Syarikat, perkukuh rangkaian logistik global

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Feb - KGW Group Bhd menjalin kerjasama dengan Accelerated Global Solutions Inc (AGS) yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan kemampuan logistik syarikat tersebut dalam mewujudkan rangkaian rantaian bekalan yang sepenuhnya bersepadu bagi pelanggan global.

 

Kerjasama itu susulan daripada pengambilalihan 15% kepentingan dalam KGW oleh AGS.

 

KGW berkata, perkongsian dengan AGS dan SpeedX Logistics membuka jalan bagi KGW untuk menyepadukan sumber dan kepakaran dengan lancar, mencipta ekosistem logistik dari hujung ke hujung yang direka untuk memenuhi keperluan pengirim global yang sentiasa berkembang.

 

SpeedX, yang turut dimiliki oleh pihak yang sama seperti AGS, merupakan pakar penghantaran terakhir yang didayakan oleh teknologi.

 

"Kerjasama ini memperkukuhkan kedudukan pasaran kami dengan memanfaatkan rangkaian global AGS, termasuk pengangkutan udara, perkhidmatan broker kastam dan proses memenuhi pesanan pelanggan.

 

"Dengan kepakaran AGS dalam pengangkutan udara dan pelepasan kastam, KGW dapat mengoptimumkan harga dan prestasi," kata KGW dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan KGW, Datuk Roger Wong berkata, kepakaran AGS dalam pengangkutan udara dan kastam, serta kemampuan penghantaran terakhir SpeedX, telah mentakrifkan semula pengalaman logistik untuk pelanggan.

 

"Ini membolehkan kami meningkatkan penguasaan merentasi Pasifik, memacu pertumbuhan yang mampan dan menyediakan rumusan dari hujung ke hujung yang lancar serta memenuhi permintaan kompleks rantaian bekalan global," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AGS dan SpeedX, Chris Zheng pula berkata, matlamat KGW dalam pengangkutan laut selaras dengan visi syarikat untuk rangkaian logistik yang bersepadu.

 

"Kami akan mencipta pengalaman rantaian bekalan yang lancar untuk pengirim, menggabungkan kepakaran pengangkutan laut KGW dengan kemampuan pengangkutan udara AGS dan penghantaran terakhir inovatif SpeedX.

 

"Kerjasama ini adalah pencapaian penting dalam menyampaikan rumusan logistik yang kos efektif, cekap dan didayakan oleh teknologi kepada pasaran global," ujarnya. - DagangNews.com