KUALA LUMPUR 10 Feb - Pengendali kapal sokongan luar pesisir (OSV) dalam industri minyak dan gas, Keyfield International Bhd memperoleh dua kontrak bernilai RM56 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Keyfield berkata, kedua-dua kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB).
"Kontrak yang pertama merupakan anugerah pesanan kerja (WOA) yang diterima pada Disember 2024 bagi piagam dua bot kerja penginapan kedudukan dinamik (DP2 AWB).
"Di samping itu, kontrak kedua pula adalah anugerah lanjutan kerja (WOE) yang diterima pada November 2024 yang memberi lanjutan masa piagam (DP2 AWB)," katanya.
Keyfield berkata, setiap kontrak itu berkuatkuasa selama lima sehingga enam bulan dan kedua-dua kontrak itu dijangka bermula pada Januari 2025.
"Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
"Kami percaya kontrak tersebut tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pegangan saham kumpulan.
"Penerimaan dan pelaksanaan WOA dan WOE oleh KOSB tertakluk kepada risiko berkaitan dengan operasi perniagaan kami, yang kami sedang mengurangkan melalui pelbagai prosedur kawalan dalaman. - DagangNews.com








