Keyfield International raih kontrak RM59.6 juta penyewaan kapal di Malaysia dan UAE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield International raih kontrak RM59.6 juta penyewaan kapal di Malaysia dan UAE

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Feb - Keyfield International Bhd, yang merupakan pengendali kapal sokongan luar pesisir (OSV) dalam industri minyak dan gas, memperoleh dua kontrak bernilai RM59.6 juta untuk penyewaan kapal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.

 

Kontrak pertama diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB) oleh penyedia perkhidmatan marin luar pesisir di UAE untuk penyewaan kapal anchor handling tug supply vessel (AHTS).

 

Kontrak kedua juga diberikan kepada KOSB oleh penyedia perkhidmatan selaman komersial dan kenderaan yang dikendalikan di Malaysia untuk penyewaan kapal dynamic positioning 2 accommodation workboat (DP2 AWB).

 

Keyfield berkata, kumpulan tidak dapat mendedahkan nama penyewa kerana ia adalah maklumat sulit.

 

"Penyewaan AHTS dijangka bermula pada minggu pertama April 2025 dengan tempoh tetap selama 720 hari, ditambah pilihan lanjutan selama 180 hari.

 

"Penyewaan DP2 AWB pula dijangka bermula pada pertengahan Februari 2025, dengan tempoh tetap selama 150 hari, ditambah pilihan lanjutan selama 120 hari," kata Keyfield dalam satu pengisytiharan kepada Bursa Malaysia.

 

Kontrak-kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 dan 31 Disember 2026. - DagangNews.com