Key Asic peroleh 21 paten antarabangsa, 19 lagi masih tunggu kelulusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Key Asic peroleh 21 paten antarabangsa, 19 lagi masih tunggu kelulusan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Ogos — Key Asic Berhad memperoleh 21 paten merentasi pelbagai badan antarabangsa utama, termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Malaysia dan Singapura.

 

Syarikat pakar rumusan reka bentuk litar bersepadu khusus aplikasi (ASIC) dan sistem pada cip (SoC) itu berkata, 19 permohonan masih menunggu kelulusan, yang melibatkan produk pemacu inovatifnya.

 

Paten itu katanya, membuktikan kemajuan kritikalnya dalam Internet Benda (IoT), teknologi storan, keselamatan tanpa wayar dan harta intelek (IP) iaitu blok binaan penting cip yang berprestasi tinggi.

 

"Kejayaan itu menunjukkan bahawa IP cekap tenaga sedemikian adalah penjana hasil yang ketara, selain menjadi imej kehebatan teknikal syarikat ini," kata Key Asic dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Dari segi sejarah, kumpulan itu berkata portfolio IP telah menjana pendapatan melalui pelbagai saluran selain perjanjian pelesenan dengan banyak gergasi semikonduktor global dan pemindahan teknologi.

 

Kumpulan berkenaan tambahnya, turut melaksanakan pelbagai projek pembangunan bersama, serta jualan IP terbenam yang disepadukan terus ke dalam sejumlah kontrak ASIC dan SoC secara komprehensif.

 

Paten diterima ini meliputi kemajuan termaju dalam IoT, teknologi storan, keselamatan tanpa wayar dan IP analog iaitu komponen teras membolehkan ASIC dan SoC berprestasi tinggi serta cekap tenaga.

 

"IP diluluskan itu membolehkan kumpulan ini dapat menyesuaikan rumusan tertentu untuk memenuhi kepelbagaian pelanggan dan menyumbang dengan ketara kepada hasil," katanya. - DagangNews.com