Keuntungan UMediC pada FY25 dijangka terjejas akibat kelemahan bahagian pengedaran - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan UMediC pada FY25 dijangka terjejas akibat kelemahan bahagian pengedaran - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Bahagian pengedaran UMediC Group Bhd dijangka terus mencatat pendapatan yang lemah, sekali gus menjejaskan keuntungan keseluruhan kumpulan bagi tahun kewangan 2025 (FY25) dan dua tahun berikutnya.

 

Kumpulan itu terlibat dalam pemasaran dan pengedaran peranti perubatan berjenama dan bahan guna habis, serta pembangunan, pembuatan dan pemasaran produk perubatan jenama sendiri.

 

Bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 April 2025 (3QFY25), syarikat mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patmi) sebanyak RM1.8 juta.

 

Keputusan ini adalah di bawah jangkaan firma penyelidikan. Patmi bagi tempoh sembilan bulan berjumlah RM5.4 juta, menyusut hampir 20% berbanding tahun sebelumnya.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, sisihan negatif itu berpunca daripada hasil yang lebih rendah daripada jangkaan di bahagian pengedaran UMediC, disebabkan permintaan yang lemah terhadap peranti dan bahan perubatan habis guna.

 

“Kami menyemak turun unjuran keuntungan bagi FY25-FY27 masing-masing sebanyak 10%/12%/11% untuk mencerminkan andaian hasil yang lebih rendah bagi bahagian pengedaran.

 

"Selepas tiga suku berturut-turut prestasi pendapatan yang mengecewakan, kami juga memutuskan untuk menurunkan penarafan saham ini kepada "pegang" daripada "beli", dengan harga sasaran lebih rendah iaitu 43 sen berbanding 69 sen sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, bahagian pembuatan mencatat pemulihan kukuh berbanding suku sebelumnya, didorong permintaan terhadap produk berkaitan pernafasan.

 

“Melangkah ke hadapan, kami percaya jumlah jualan produk pernafasan dalam bahagian pembuatan akan disokong trend penjagaan kesihatan global, khususnya peningkatan populasi warga emas.

 

“Namun, prospek positif ini mungkin sebahagiannya diimbangi oleh ketidakpastian yang berterusan di bahagian pengedaran,” katanya.

 

Katanya, harga sasaran yang disemak semula kepada 43 sen adalah berdasarkan gandaan harga kepada perolehan (PER) yang lebih rendah sebanyak 19 kali, iaitu dua sisihan di bawah purata tiga tahunnya.

 

“Ini lebih rendah berbanding penilaian sebelumnya sebanyak 26.5 kali purata terhadap unjuran pendapatan sesaham 2026 yang telah disemak turun kepada 2.3 sen berbanding 2.6 sen sebelum ini. 

 

"Gandaan penilaian yang lebih rendah ini mencerminkan siri kekecewaan dalam keuntungan serta unjuran kami yang lebih berhati-hati ke hadapan,” kata HLIB. - DagangNews.com