Keuntungan Genting Berhad boleh meningkat sehingga 51% jika penswastaan berjaya - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Genting Berhad boleh meningkat sehingga 51% jika penswastaan berjaya - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Okt - Penswastaan penuh ke atas Genting Malaysia (GENM) tidak mungkin berlaku memandangkan ramai pelabur masih mengalami kerugian atas kertas, selain struktur pemilikan yang berterabur, kata penganalisis pasaran.

 

Firma CGS International (CGSI) berkata, saham GENM pernah diniagakan antara RM2.50 hingga RM3.00 sepanjang tahun 2022 hingga 2024.

 

"Kami menjangkakan Genting Bhd (GENT) hanya akan menambah pegangan dalam GENM tanpa memacu ke arah penswastaan sepenuhnya. Ini kerana harga tawaran RM2.35 dilihat tidak cukup menarik bagi kebanyakan pemegang saham sedia ada," menurut satu nota penyelidikan.

 

GENT semalam mengemukakan cadangan pengambilalihan penuh ke atas anak syarikat tersenarainya, GENM dalam satu transaksi bernilai RM6.7 bilion. GENT menawarkan harga RM2.35 sesaham kepada pemegang saham minoriti GENM – satu premium hampir 10% berbanding harga penutupan terakhir saham Genting Malaysia pada RM2.14 sebelum dagangannya digantung Jumaat lalu.

 

CGSI berkata, pengambilalihan ini dilihat sebagai strategi GENT untuk mengukuhkan kawalan ke atas GENM, khususnya dalam usaha menyokong penyertaan Resorts World New York City dalam bidaan lesen kasino di New York. 

 

GENT percaya kekuatan kewangan dan jaringan globalnya mampu menyokong GENM dalam memajukan projek berskala besar ini.

 

Walau bagaimanapun, CGSI turut mengingatkan tawaran ini berpotensi memberi kesan pencairan kepada pendapatan sesaham (EPS) GENT. 

 

"Berdasarkan anggaran semasa, EPS FY2026 dijangka menyusut sekitar 6% disebabkan kos faedah tambahan dan kehilangan pendapatan daripada tunai digunakan untuk tawaran ini," katanya.

 

Prestasi saham GENM mengecewakan sejak setahun lalu

 

Menurut CGSI, saham GENM kini diliputi oleh 18 penganalisis pasaran, dengan hanya tiga saranan "Beli", 12 "Pegang" dan tiga "Jual". 

 

"Ini menunjukkan sentimen berhati-hati terhadap syarikat tersebut. Pada Ogos 2024, GENM masih memiliki 14 saranan "Beli", namun keyakinan pelabur merosot susulan prestasi kewangan yang mengecewakan, penurunan kadar dividen, serta penyingkiran dari Indeks FBM KLCI dan MSCI Malaysia.

 

"Laporan tahunan 2025 turut menunjukkan struktur pemegangan saham GENM agak berpecah, dengan institusi-institusi utama seperti AIA (1.7%), Vanguard (1.4%) dan State Street Bank & Trust (0.7%) hanya memegang kepentingan kecil," katanya.

 

Sehubungan itu CGSI mengekalkan saranan "Tambah" ke atas saham GENT dengan harga sasaran RM3.57, berdasarkan diskaun 30% kepada penilaian jumlah bahagian (SOP).

 

"GENT dilihat sebagai proksi kukuh kepada pemulihan pelancongan di Malaysia dan Singapura, dengan potensi pemangkin nilai termasuk kelulusan pengawalseliaan untuk TauRx Therapeutics (rawatan Alzheimer; GENT miliki 20.7%) serta peningkatan prestasi Resorts World Las Vegas (RWLV)," ujar firma itu lagi.

 

Sementara itu firma penyelidikan PublicInvest, mengekalkan penarafan Neutral kepada saham GENT, kerana walaupun penswastaan akan meningkatkan fleksibiliti strategik kumpulan, ia juga akan menambah beban hutang dalam jangka masa pendek.

 

Sebaliknya, firma penyelidikan itu menyemak semula penarafan saham GENM kepada BELI berdasarkan potensi keuntungan segera daripada tawaran penswastaan ini, serta kemungkinan menang lesen kasino di New York.

 

Menurut PublicInvest, sekiranya tawaran ini diterima sepenuhnya, ia akan dibiayai melalui hutang luar sebanyak RM6.3 bilion, manakala selebihnya menggunakan dana dalaman. 

 

"Jika dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman, nisbah gearing bersih GENT dijangka meningkat daripada 0.43x kepada 0.50x," katanya.

 

Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) melihat, tawaran ini bakal memberi pulangan positif kepada GENT jika penswastaan itu berjaya.

 

"Sekilas pandang, urus niaga ini tidak kelihatan menguntungkan bagi GENT, namun setelah mengambil kira pemangkin-pemangkin potensi yang kini dimiliki GENM, kami menjangkakan bahawa pendapatan GENT boleh meningkat sehingga 51%, dan nilai saksama SOTP boleh mencapai RM4.25. 

 

"Buat masa ini, kami menaikkan SOTP-TP kami kepada RM3.94 (daripada RM3.70 sebelum ini) untuk mengambil kira SOTP-TP GENM yang lebih tinggi," katanya.

 

Menurut Mayank IB, pemangkin yang ada pada GENM yang berpotensi memberikan lonjakan besar termasuk penilaian semula tanah di Miami.

 

"GENM memperoleh tanah di Miami pada tahun 2011 dengan kos USD442 juta, namun dalam cubaan penjualan tahun 2023, tanah tersebut dinilai sehingga USD1.2 bilion – hampir 3 kali ganda daripada kos asal," katanya.

 

Pemangkin lain ialah penjualan aset bukan permainan Empire Resorts dan peluang lesen kasino di New York.

 

"GENM dijangka menjual aset bukan permainan Empire kepada Sullivan County Resort Facilities Local Development Corporation, yang dijangka menjana pulangan modal yang besar.

 

"GENM kini dalam proses bidaan akhir bagi lesen kasino komersial di kawasan selatan New York melalui anak syarikatnya, Genting New York LLC. Lesen ini adalah sebahagian daripada projek mega bernilai USD5.5 bilion (RM23 bilion) untuk membangunkan pusat peranginan bersepadu di Queens," katanya.

 

Menurut Maybank IB, sekiranya GENT berjaya menswastakan GENM dan memiliki sepenuhnya pemangkin-pemangkin ini, firma itu menjangkakan pendapatan GENT boleh meningkat sehingga 51%, terutamanya disokong oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit Malaysia, dan nilai saksama berdasarkan SOTP boleh meningkat kepada RM4.25 sesaham. - DagangNews.com