Keuntungan F&N berpotensi meningkat pada 2QFY25 kestabilan harga komoditi - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan F&N berpotensi meningkat pada 2QFY25 kestabilan harga komoditi - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Feb - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) berpotensi mencatatkan peningkatan keuntungan pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) disokong kestabilan harga komoditi dan persekitaran tukaran mata wang asing yang menggalakkan.

 

MIDF Research bekata, kumpulan itu kekal fokus memacu pertumbuhan melalui keupayaan pasaran, kecekapan operasi dan pembangunan berterusan ladang tenusu bersepadu dan kilang pembuatan tenusu di Kemboja.

 

"Kami optimis terharap prospek kumpulan, didorong permintaan berterusan untuk minuman, pemulihan dalam pelancongan di seluruh Thailand dan Malaysia, dan peralihan ke arah jenama tempatan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih F&N bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2024 (1QFY25) susut kepada RM169.018 juta daripada RM170.737 juta yang dicatatkan pada 1QFY24.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat kepada RM1.39 bilion daripada RM1.33 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan yang lebih tinggi itu didorong oleh jualan perayaan di Malaysia dan pemulihan ekonomi Thailand, disokong oleh ketibaan pelancong dan peningkatan jualan di pasaran Indochina berikutan ketersediaan bekalan susu segar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan dalam perbelanjaan cukai adalah disebabkan oleh tamat tempoh insentif cukai, yang membawa kepada asas bercukai yang lebih tinggi.

 

Katanya, walaupun begitu, prestasi suku berturut-turut menunjukkan pemulihan yang teguh, dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawal (PATANCI) melonjak sebanyak +42.2% dari suku tahun ke suku tahun.

 

"Pemulihan ini disokong oleh permintaan yang didorong oleh perayaan bermusim, penyerapan kos yang lebih baik dan skala ekonomi yang lebih baik.

 

"Operasi Malaysia menyaksikan peningkatan yang ketara, didorong oleh jualan yang lebih kukuh daripada tempoh Tahun Baharu Cina.

 

"Selain itu, keuntungan operasi mendapat manfaat daripada campuran jualan yang dipertingkatkan dan kos input yang lebih rendah, yang seterusnya membawa kepada pengembangan +1.8 ppts dalam margin keuntungan operasi kepada 17.5%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) RM36.77 sesaham. - DagangNews.com