KUALA LUMPUR 14 Ogos - Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA Direct Solutions, Datuk Mohd Efendi Omar ditauliahkan sebagai pegawai sukarela Askar Wataniah merupakan antara 53 pegawai tentera menerima pemakaian pangkat.
Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai dan Penganugerahan Sayap Juruterbang Tentera Darat yang berlangsung di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada Rabu disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Panglima Tentera Darat menegaskan pemakaian pangkat adalah simbol pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen anggota, manakala penganugerahan sayap memperkukuh keupayaan udara Tentera Darat dalam melaksanakan operasi darat-udara serta meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara.
Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan majlis itu sebagai pengiktirafan kepada pegawai yang dinaikkan pangkat serta pegawai yang berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter.


Ia membabitkan pelbagai peringkat kenaikan termasuk dua pegawai dinaikkan daripada Brigedier Jeneral ke Mejar Jeneral, tiga pegawai daripada Kolonel ke Brigedier Jeneral, dua pegawai daripada Leftenan Kolonel ke Kolonel dan tujuh pegawai daripada Mejar ke Leftenan Kolonel.
"Majlis turut menyaksikan pemakaian pangkat pegawai sukarela Askar Wataniah iaitu seorang Kolonel ke Brigedier Jeneral, seorang Mejar dinaikkan ke Leftenan kolonel.
"Empat pegawai sukarela diberikan Anugerah Tauliah Mejar Kehormat termasuk Datuk Mohd Efendi Omar dan dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
"Seorang dipakaikan pangkat Mejar, tujuh pegawai sukarela dipakaikan pangkat Kapten, tiga pegawai sukarela dipakaikan pangkat Leftenan dan 19 dipakaikan pangkat Leftenan Muda Pegawai Sukarela Askar Wataniah," menurut kenyataan.
Muhammad Hafizuddeain turut menyempurnakan pentauliahan pangkat Leftenan Muda kepada seorang pegawai kadet tempatan dan dua pegawai kadet lulusan akademi ketenteraan luar negara.
Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan sayap juruterbang kepada lima pegawai yang berjaya menamatkan latihan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah pada 21 Jun lalu, membabitkan Kapten Zamir Harith Zulkefli, Kapten Aiman Farid Jaafar, Kapten Muhamad Syahir Azmi, Kapten Ilham Zulkarnain Fauzey, dan Leftenan Harith Zakwan Rusman. - DagangNews.com








