Ketua Audit Negara syor mansuh sistem prakelayakan, guna tender terbuka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketua Audit Negara syor mansuh sistem prakelayakan, guna tender terbuka

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Julai — Sistem perolehan prakelayakan disyor dimansuhkan dengan diganti kepada sistem tender terbuka penuh, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan hari ini.

 

Sistem semasa itu katanya, terdedah kepada manipulasi selain dikhuatiri membawa risiko kelewatan dan ketidakcekapan, dengan syarikat tidak berkelayakan didapati telah dipilih ke peringkat tender.

 

Kaedah tersebut diperkenalkan Kementerian Kewangan untuk semua kementerian dan agensi bagi projek pada 2023 dan 2024 bertujuan mempercepatkan proses perolehan dan pelaksanaan projek kerajaan.

 

"Sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah itu, penambahbaikan menyeluruh terhadap aspek ketelitian dan pemantauan perlu agar menjadi kaedah yang cekap dan berkesan," kata LKAN.

 

Bagaimanapun laporan berkenaan yang meliputi sejumlah 71 projek bernilai RM20.1 bilion melibatkan tiga kementerian itu kemudian mendapati pelaksanaan sistem tersebut tidak pun mencapai objektifnya.

 

Antara lain, terdapat kontraktor yang tidak layak diluluskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), termasuk enam firma tidak mengemukakan dokumen dan tujuh tanpa perakuan.

 

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menurut LKAN, telah menganugerahkan sebuah projek yang bernilai sebanyak RM40.1 juta kepada satu syarikat yang didapati gagal memenuhi kriteria kewangan.

 

Semakan juga mendapati subkontrak tanpa kebenaran berlaku dalam projek Lebuhraya Pan Borneo yang diketuai Kementerian Kerja Raya yang dibimbangi boleh menjejaskan perlindungan hak kerajaan.

 

"Ketiga-tiga kementerian berkenaan turut tidak mempunyai pangkalan data kontraktor secara berpusat, yang membawa kepada proses pemilihan secara ad hoc dan mengurangkan persaingan adil," kata LKAN.

 

Sebaliknya menurut laporan tersebut, Petra didapati bergantung kepada jemputan e-mel yang tidak pernah disahkan, manakala KKDW pula hanya menggunakan iklan laman web menerusi laman web rasminya.

 

Sistem sedemikian tambah LKAN, telah mengehadkan bilangan pembida yang berpotensi, apabila lebih memihak kepada syarikat tertentu untuk dipilih dan menjejaskan persaingan secara adil.

 

Di samping itu katanya, sambil memberi amaran, kaedah tersebut mengakibatkan kekurangan ketelusan dalam prakelayakan dan boleh menjejaskan tahap akauntabiliti. - DagangNews.com