Ketua Audit Negara dedah kelemahan tadbir urus Felcra, UKM dan tentera darat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketua Audit Negara dedah kelemahan tadbir urus Felcra, UKM dan tentera darat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Julai — Terdapat beberapa isu kelemahan tadbir urus Felcra, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan tentera darat, kata Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.


Penyelewengan serius yang dikenal pasti itu katanya, turut diperincikan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2025 Siri 2, serta dibentangkan Jabatan Audit Negara (JAN) di Dewan Rakyat hari ini.


Antaranya kata beliau, pelaksanaan perolehan pajakan bagi sebanyak empat ladang kelapa sawit oleh Felcra Berhad, yang membabitkan pengambilalihan bernilai RM241.76 juta dari 2022 hingga 2024.


Selain itu tambahnya, terdapat kelemahan serius dalam proses perolehan tender dan tadbir urus perolehan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang melibatkan tiga tender bernilai RM58.45 juta.

 

 

 

 


“Juga pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan kenderaan perisai tentera darat antara 2020 dan 2023. Ini termasuk denda kelewatan RM162.75 yang masih belum dikutip bagi pembekalan Gempita,” kata Wan Suraya dalam kenyataan.


Tambahnya, perolehan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti kenderaan perisai berjumlah RM107.54 juta didapati dilaksanakan secara pecah kecil melibatkan sebut harga dan pembelian terus.

 

Agensi itu juga mendapati kelemahan dalam pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi program minyak masak bersubsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).


Ia khususnya ketiadaan peruntukan bersasar untuk golongan yang layak namun kata Wan Suraya, usaha serius KPDN untuk mengurangkan kuota bekalan minyak masak bersubsidi sejak 2016 perlu diteruskan.


"Langkah ini boleh memberi impak secara positif dalam kerajaan membendung masalah ketirisan melalui pengagihan bekalan yang lebih bersasar, selaras dengan saranan JAN sendiri," kata beliau.


Kaedah Perolehan Pra-Q Terpilih yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan turut ditegur beliau kerana mekanisme itu membenarkan ruang untuk berlaku manipulasi dan tidak mempunyai ketelusan.


Wan Suraya mendedahkan, beberapa syarikat yang sama ada gagal memenuhi kriteria penilaian pada peringkat pertama atau tidak dijemput didapati masih dipilih dan dinilai pada peringkat kedua.


“Kami mengesyorkan agar kaedah itu tidak lagi diteruskan dan kaedah tender terbuka adalah lebih sesuai untuk memastikan tahap akauntabiliti serta ketelusan dalam proses perolehan,” katanya.


LKAN kali ini mengandungi sebanyak lima laporan yang melibatkan tujuh kementerian dengan meliputi program, aktiviti dan projek tertentu yang telah diaudit JAN bernilai RM48.873 bilion.


Pengauditan oleh JAN dari 2024 hingga Jun 2025 kata beliau, telah membantu kerajaan mendapatkan semula RM157.73 juta, termasuk melalui tuntutan penalti, sewa tertunggak dan kutipan duti.


Beliau mengemukakan 22 syor kepada kementerian, jabatan dan syarikat milik kerajaan dengan laporan itu boleh diakses melalui http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my. - DagangNews.com