Ketidaktentuan tarif, geopolitik tekan sektor perkapalan pada 1H25, kata persatuan pemilik kapal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan tarif, geopolitik tekan sektor perkapalan pada 1H25, kata persatuan pemilik kapal

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Julai — Industri perkapalan Malaysia dilihat berhati-hati pada separuh pertama 2025, dengan beroperasi dalam cabaran tekanan persekitaran dan memerlukan pelbagai strategi.

 

Rundingan berterusan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kadar tarif, serta ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan antara mendominasi sektor itu.

 

Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (Masa), Mohamed Safwan Othman namun menyifatkan aktiviti pelabuhan tempatan menunjukkan prestasi yang baik, dengan merekodkan peningkatan jumlah kargo.

 

Walaupun kesan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) bermula 1 Ogos 2025, adalah minimum kepada pemain industri, sektor itu terus memantau potensi jangka sederhana berdasarkan situasi penundaan 90 hari.

 

Beliau menambah, aktiviti domestik kekal perlahan, dengan perhatian khusus kepada rundingan yan berterusan antara syarikat minyak nasional Petronas, dan Petros setelah berlarutan lebih dua tahun.

 

"Isu ini menyebabkan permintaan rendah dalam pasaran kapal sokongan di perairan domestik, tetapi Petronas dan TNB Fuel Sdn Bhd masing-masing aktif banyak membantu pemilik kapal Malaysia," katanya.

 

Kedua-duanya syarikat itu telah menganugerahkan peruntukan kontrak kapal secara jangka panjang dan penghantaran sepanjang tahun ini dengan segmen perkapalan lain secara am masih adalah neutral.

 

Mengenai ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan maritim utama, Mohamed Safwan berkata selain pemain global seperti MISC Berhad, kebanyakan pengendali memberi tumpuan kepada pasaran serantau.

 

"Dari segi kos, kelewatan laluan seperti Terusan Suez dan Selat Hormuz meningkatkan pergantungan kepada kapal ASEAN yang beroperasi di rantau ini dan menyebabkan kenaikan kadar sewa," katanya.

 

Beliau menyatakan bahawa Asia Tenggara kekal secara relatif stabil, dengan penghalaan sebahagian besarnya tidak terjejas namun kelewatan dijangka dalam penghantaran kargo untuk kegunaan Malaysia.

 

Mengenai sasaran penyahkarbonan ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), beliau berkata, anggota Masa mengetahui peraturan itu, tetapi peralihan memerlukan usaha dan pembiayaan yang besar.

 

"Berhubung sasaran baharu yang digariskan dalam strategi pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar IMO 2050, ahli-ahli Masa sedang menilai pilihan yang masih belum dimuktamadkan," kata Mohamed Safwan.

 

Industri maritim global tambah beliau, terus membahaskan penyelesaian semasa di IMO dan bagi Masa, pemilik kapal Malaysia menumpukan pada meningkatkan kecekapan dalam peraturan yang sedia ada.

 

Tambahnya, kebanyakan kapal negara ini semakin tua, dan mana-mana penghantaran semula kapal mesti mempertimbangkan alternatif seperti bahan api mesra alam atau kapal berteknologi dwi-bahan api.

 

Beliau turut menekankan ketidakstabilan yang timbul daripada ketegangan geopolitik telah mendorong pemain industri untuk mencuba peningkatan permintaan daripada pergerakan kargo yang diubah hala.

 

“Risiko utama kekal, terutama antara kuasa global yang lebih dekat dengan negara sendiri, seperti keretakan China dan AS serta kedudukan Taiwan, yang meningkatkan ketidaktentuan serantau," katanya.

 

Mohamed Safwan menambah, isu-isu tersebut memang dikenal pasti menjejaskan kebebasan bergerak dan kestabilan kapal-kapal di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com