Ketidaktentuan perdagangan global tidak jejaskan potensi pertumbuhan Westports, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan perdagangan global tidak jejaskan potensi pertumbuhan Westports, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Ogos — Westports Holdings Berhad masih lagi mampu merekodkan potensi pertumbuhan walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan global, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, cabaran secara berterusan dalam ekonomi antarabangsa terutamanya isu tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia tidak memberi sebarang kesan ketara.

 

Sebaliknya tambah firma tersebut, kumpulan itu berupaya mengekalkan pertumbuhan bagi pengeluaran kontena sebanyak 3.1 peratus pada tempoh separuh pertama tahun ini (1HFY25) dengan begitu baik.

 

"Kami mendapati, peningkatan itu didorong oleh volum pemindahan kapal kira-kira 6.0 peratus, dan sebahagian diimbangi pintu masuk yang lebih rendah iaitu -0.4 peratus," kata HLIB dalam notanya.

 

Tambahnya, purata penggunaan pelabuhan tersebut kekal tinggi iaitu 80 peratus pada 1HFY25 dengan pihak pengurusan namun tidak melihat sebarang perubahan bermakna dalam jumlah volum berterusan.

 

Ia turut menjangka, kenaikan tarif berperingkat yang diluluskan kerajaan masing-masing bermula 15 Julai 2025, 1 Januari 2026 dan 1 Julai 2027 akan menambah baik aliran tunai kumpulan tersebut.

 

HLIB berkata, sebahagian daripada kutipan tarif berkenaan mampu membiayai pelan pengembangan Westports2 selain dana daripada Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) lima tahun yang diluluskan.

 

Pihak pengurusan tambahnya, turut komited untuk meneruskan dasar pembayaran dividen sebanyak 75 peratus, manakala kerja-kerja pembangunan WestportsWP2 didapati terus berjalan dengan amat baik.

 

"Pengorekan dan tebus guna tanah telah mencapai 20 peratus kadar penyiapan, dengan pembinaan akan dimulakan pada 1QFY27 sebelum dapat beroperasi pada 2QFY28 untuk dermaga pertama," katanya.

 

Sementara dermaga kedua di pelabuhan berkenaan, kata HLIB, dijangka mampu berfungsi sepenuhnya menjelang tempoh terakhir pada 2028, sekali gus meningkatkan tahap keupayaan kapasiti Westports.

 

Ia turut meramalkan kemampanan pendapatan, disokong oleh kenaikan tarif dan pergerakan volum yang berdaya tahan, walaupun terdapat kebimbangan mengenai isu kelembapan perdagangan antarabangsa.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran turut tidak berubah kepada RM6.08 sesaham. - DagangNews.com