Ketidaktentuan perdagangan global dijangka beri kesan kepada pemulihan eksport Malaysia - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan perdagangan global dijangka beri kesan kepada pemulihan eksport Malaysia - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Julai — Masalah ketidaktentuan perdagangan global yang berterusan dijangka boleh mengakibatkan eksport Malaysia semakin perlahan dan menjejaskan pemulihan, menurut penganalisis.

 

Firma-firma penyelidikan merujuk data eksport negara pada Jun 2025 yang merosot lagi sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun (YoY), menandakan pertumbuhan cukup lemah untuk bulan kedua berturut-turut.

 

Keadaan itu kata mereka, mengesahkan penurunan aktiviti muatan hadapan yang bermula pada awal April 2025 selepas pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) dan mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia.

 

United Overseas Bank (UOB) berkata, tinjauan eksport jangka pendek untuk Malaysia kekal kabur oleh isu ketidaktentuan berlarutan terhadap dasar perdagangan dan tarif global serta risiko geopolitik.

 

“Pengumuman tarif Presiden AS, Donald Trump dengan tarikh akhir rundingan dilanjutkan hingga 1 Ogos 2025, telah membayangi prospek eksport Malaysia untuk baki tahun ini," katanya dalam satu nota.

 

Kesan duti import negara itu tambahnya, akan berpanjangan sehingga tahun depan kerana Malaysia menghadapi tarif yang lebih tinggi sebanyak 25% berbanding 24% ketika diumumkan pada 2 April 2025.

 

Ia juga kata UOB, jauh lebih tinggi daripada tarif dikenakan ke atas negara serantau lain seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina selain sekatan AS yang berkaitan produk cip kecerdasan buatan (AI).

 

“Risiko ini adalah nyata dan berkembang, yang akan mengganggu rantaian bekalan, aliran pelaburan dan daya saing eksport serta diburukkan lagi dengan pelbagai isu di peringkat domestik," katanya.

 

Ini termasuk perubahan dasar seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), tarif elektrik baharu, caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ke atas pekerja asing, serta pelaksanaan e-Invois.

 

Keadaan itu kata UOB, menambah tekanan kepada perniagaan Malaysia, termasuk pengeksport dan sebagai tindak balas, pemimpin perniagaan menggesa kerajaan meringankan beban dengan pertimbangan tertentu.

 

Sementara itu Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan pandangan berhati-hati ekoran risiko tarif yang berterusan, ditambah lagi kebimbangan mengenai tarif khusus sektor semikonduktor.

 

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini pada 4 peratus sementara menunggu kejelasan mengenai rundingan tarif AS-Malaysia," kata firma berkenaan.

 

Dalam pada itu, CIMB Research masih lagi mengekalkan unjuran KDNK setahun penuhnya iaitu 4.3% dengan menyatakan ekonomi tempatan berkembang sebanyak 4.4% pada 1H25, berbanding 5% pada 1H24.

 

Katanya, ia mencerminkan trajektori pertumbuhan seimbang tetapi berhati-hati namun, sekiranya tarif AS sedia ada sebanyak 25% kekal selepas tarikh akhir 1 Ogos, pertumbuhan KDNK boleh melemah lagi.

 

"Muatan hadapan di AS, Taiwan dan Korea Selatan menjadi sederhana, manakala penghantaran ke China, Kesatuan Eropah dan ASEAN telah lemah di tengah-tengah ketidaktentuan tarif," katanya. - DagangNews.com