Ketidaktentuan harga bahan mentah berisiko jejaskan prospek Guan Chong, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan harga bahan mentah berisiko jejaskan prospek Guan Chong, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Julai — Prospek Guan Chong Berhad diramal terjejas jika harga bahan mentah utamanya iaitu koko dan kopi mengalami situasi turun naik secara mendadak, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, masalah ketidaktentuan harga komoditi berkenaan dikenal pasti sebagai antara kelemahan ketara kumpulan itu yang mengganggu kestabilan dalam jangka masa panjang.

 

Selain itu tambahnya, syarikat pengeluar produk makanan dan minuman tersebut turut dijangka boleh berdepan dengan isu permintaan yang lemah sama ada di pasaran tempatan sendiri atau luar negara.

 

"Kami turut mendapati, Guan Chong berisiko terdedah kepada kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) jika ringgit lemah di samping saingan pihak lawan," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Sehubungan dengan unjuran itu, ia menyemak semula ramalan untuk FY25 hingga FY27 yang lebih rendah masing-masing sebanyak 13%, 14% dan 2% selepas diambil kira kadar penggunaan adalah perlahan.

 

Bagaimanapun di sebalik jangkaan permintaan global yang lemah dan nisbah rendah mentega koko, firma berkenaan percaya pembetulan harga saham kumpulan tersebut baru-baru ini adalah agak keterlaluan.

 

Sebaliknya tambah RHB Research, Guan Chong sebenarnya masih ada lagi potensi positif memandangkan prospek pendapatan FY25 yang mencatatkan rekod tinggi dengan disokong oleh margin lebih kukuh.

 

"Kumpulan berkenaan mampu menarik untuk memacu pertumbuhan secara berbilangnya, termasuk melalui usaha aktif pengembangan kapasiti pengeluarannya di Britain dan Ivory Coast," kata firma itu lagi.

 

Ia turut diimbangi oleh perbezaan harga kacang secara diskaun berbanding premium tahun lepas serta potensi pulangan struktur pasaran selepas diambil kira potongan harga dan kadar faedah yang rendah.

 

RHB Research juga menjangkakan prestasi Guan Chong untuk tempoh suku ke suku yang lebih kukuh dalam 2QFY25, dengan disokong oleh nisbah gabungan secara sihat setanding dengan Indeks Produk Pengguna.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Guan Chong namun harga sasaran sesaham disemak kembali kepada RM2.58 berbanding RM3.00. - DagangNews.com