KUALA LUMPUR 6 Jan - Ketidaktentuan berterusan mengenai struktur pemilikan dan kawalan muktamad Digital Nasional Berhad (DNB) terus meletakkan prospek sektor telekomunikasi (telco) dalam keadaan tanda tanya, menurut Kenanga Research.
Ketidaktentuan itu dilihat terus mengaburkan keterlihatan pendapatan, komitmen perbelanjaan modal (capex) serta kemampanan dividen.
Selain itu tambah Kenanga Research, keadaan itu juga menimbulkan risiko pendapatan kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) susulan kekurangan perincian berkaitan prospek kewangan DNB.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan NUETRAL kepada sektor berkenaan.
"Dalam persekitaran ini, pemain talian tetap dilihat lebih menarik memandangkan mereka tidak terdedah kepada risiko pelaksanaan rangka kerja Rangkaian Dwi 5G (5G Dual Network, 5GDN) yang melibatkan DNB," kata firma itu dalam nota kajian hari ini.
TIME dotCom Bhd kekal sebagai pilihan utama sektor dengan penarafan OUTPERFORM dan harga sasaran RM6.12.
Menurut Kenanga Research, dari sudut positif, sentimen sektor berpotensi disokong oleh peningkatan hasil dividen, dengan kemungkinan pengagihan dividen lebih tinggi atau dividen khas oleh TIME dotCom dan Maxis Bhd.
Potensi ini disokong oleh perbelanjaan modal yang rendah, prestasi kewangan yang kukuh serta usaha pengoptimuman kunci kira-kira, khususnya oleh TIME dotCom.
Selain itu, sektor ini juga berpotensi menerima sokongan daripada aliran berita berkaitan penggabungan dan pengambilalihan (M&A), berikutan usaha berterusan Axiata Group Bhd untuk membuka nilai dalam edotco, sama ada melalui pelupusan strategik, penjualan sebahagian pegangan atau inisiatif pengewangan lain.
Dalam pada itu, kata Kenanga Research pemain telco dijangka mendapat manfaat daripada pecutan penganugerahan kontrak apabila pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia (NW2) semakin rancak.
Bagi tahun pertama operasi sehingga Julai 2026, U Mobile menyasarkan penaiktarafan 6,515 tapak serta pelaksanaan penyelesaian dalam bangunan di 170 bangunan, bagi mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk (CoPA).
Setakat akhir Oktober, hanya 2,976 tapak atau 58% CoPA serta 11 bangunan berjaya disiapkan, menunjukkan masih terdapat jumlah kerja yang besar untuk dilaksanakan.
Keadaan ini dijangka mewujudkan peluang kontrak jangka terdekat kepada pengendali menara seperti OCK Group Bhd, Axiata Group melalui edotco dan Reach Ten Holdings, selain penyedia gentian backhaul seperti Telekom Malaysia Bhd dan TIME dotCom.
Pakar pelaksanaan dan kejuruteraan rangkaian termasuk Redtone, Hexcap dan Theta turut dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan NW2.
Dalam kalangan pemain berkaitan NW2, OCK Group dilihat sebagai proksi pilihan, memandangkan pendedahannya merentasi projek-projek utama rangkaian tersebut.
Kemenangan kontrak dijangka mampu memberikan peningkatan bermakna kepada buku pesanan dan pendapatan syarikat itu berbanding pesaing yang lebih besar. - DagangNews.com








