Ketepuan pasaran bukan isu bagi MR DIY dengan cawangan mampu menjana pulangan ekuiti lebih 30% tahunan - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketepuan pasaran bukan isu bagi MR DIY dengan cawangan mampu menjana pulangan ekuiti lebih 30% tahunan - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Jan – Mr DIY Group (M) Bhd kekal yakin terhadap prospek pertumbuhannya dan menegaskan bahawa kebimbangan mengenai ketepuan pasaran bukan satu isu, meskipun syarikat itu mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pembukaan cawangan baharu, menurut CGS International (CGSI)

 

Firma itu berkata, pengurusan Mr DIY menyatakan pendirian tersebut baru-baru ini dengan menekankan bahawa prestasi cawangan sedia ada dan baharu terus kekal kukuh.

 

Menurut CGSI lagi, kedua-dua cawangan lama dan baharu masih mampu menjana pulangan ekuiti (ROE) tahunan melebihi 30%, dengan tempoh pulangan modal sekitar tiga tahun, sekali gus menyokong kemampanan rangkaian kedai Mr DIY di seluruh negara.

 

Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), Mr DIY menyasarkan pembukaan 155 cawangan berbanding 184 cawangan pada FY24.

 

Bagaimanapun, CGSI menegaskan pengurangan sasaran itu tidak mencerminkan perubahan strategi pengembangan, sebaliknya selari dengan pendekatan lebih selektif dari segi pemilihan lokasi dan format kedai.

 

“Pengurusan kekal yakin terhadap trajektori pertumbuhan jangka panjang kumpulan, disokong oleh prestasi operasi yang konsisten serta model perniagaan yang berdaya tahan,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

CGSI turut menjangkakan margin keuntungan Mr DIY akan terus mengukuh, didorong oleh pengukuhan nilai ringgit berbanding renminbi dan dolar Amerika Syarikat, selain peningkatan kadar perolehan.

 

Keadaan itu dijangka memberi ruang kepada kumpulan berkenaan untuk mempergiatkan kempen pemasaran dan promosi, sekali gus menyokong pertumbuhan jualan pada masa hadapan.

 

CGSI menambah, perbelanjaan pengguna akan meningkat, disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pemberian bantuan tunai, kenaikan gaji dan bonus penjawat awam, serta pertumbuhan sektor pelancongan di bawah kempen Visit Malaysia 2026.

 

Katanya, faktor-faktor berkenaan dijangka menyokong pemulihan pertumbuhan jualan kedai sama (same-store sales growth, SSSG) dan pertumbuhan hasil Mr DIY Group (M) Bhd bagi tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Dalam andaian situasi biasa, CGSI mengandaikan Mr DIY mampu mencatat SSSG antara sifar hingga tiga peratus dari FY25 hingga FY27, dengan KKV menyumbang keuntungan sebanyak RM44 juta menjelang FY27. Andaian ini menyokong harga sasaran RM2.09, yang mewakili potensi kenaikan 34% berbanding harga saham semasa.

 

Firma itu mengekalkan saranan TAMBAH ke atas saham Mr DIY, dengan penilaian berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kalendar 2026 sebanyak 19.6 kali adalah tidak menuntut.

 

Firma itu turut menekankan prospek hasil dividen yang semakin meningkat, dianggarkan sekitar empat hingga lima peratus bagi tempoh FY25 hingga FY27. - DagangNews.com