KUALA LUMPUR 26 Jun (Bernama) — Ketegangan geopolitik secara di rantau Asia Barat diunjur hanya memberi kesan jangka pendek kepada Malaysia, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Kata beliau, krisis semasa yang menyaksikan beberapa siri serangan balas di zon konflik itu, telah menjejaskan kestabilan ekonomi dan menyebabkan harga minyak mentah melonjak dalam tempoh singkat.
Bagaimanapun tambah beliau, lonjakan harga komoditi petroleum tersebut secara mendadak akibat daripada konflik tersebut, perlu dinilai semula apabila harganya turun setelah diadakan rundingan.
"Maka impaknya sekarang adalah jangka pendek. Kami memahami usaha untuk mengekalkan keamanan juga sedang serius dijalankan, dan Malaysia terus menyokong inisiatif di rantau itu," kata Amir Hamzah.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya pemberita mengenai kesan ketegangan di Asia Barat ke atas Malaysia selepas melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 yang dianjurkan oleh SME Bank Berhad hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa masalah keamanan global adalah kekal sebagai isu yang paling kritikal pada masa ini, selain daripada kebimbangan terhadap ekonomi antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan kata Amir Hamzah, harga minyak mentah Brent meningkat lebih 3 peratus minggu lalu sebelum stabil, berikutan laporan awal rundingan damai oleh beberapa kuasa besar.
Mengenai isu rasionalisasi subsidi bahan api, beliau berkata, kerajaan tetap bercadang untuk melaksanakan subsidi ke atas harga runcit petrol RON95 yang disasarkan pada tahun ini.
"Tetapi jika mahu diteruskan, ia mesti betul, sama seperti diesel, kita perlu memastikan mekanisme itu betul. Kita masih mereka bentuk mekanisme itu, dan ia akan dibincangkan Kabinet," katanya.
Bagaimanapun tambah beliau, pada dasarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah memberi jaminan kerajaan tidak akan mengenakan beban yang terlalu tinggi kepada majoriti rakyat.
Sebaliknya kata Amir Hamzah, kerajaan mahu memastikan sebahagian besar daripada rakyat tidak akan terjejas dengan pelarasan subsidi RON95 itu. - DagangNews.com








