Kes Zara Qairina: Pengetua, Penolong Kanan dan warden SMKA Tun Datu Mustapha dipindah sehingga siasatan polis selesai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kes Zara Qairina: Pengetua, Penolong Kanan dan warden SMKA Tun Datu Mustapha dipindah sehingga siasatan polis selesai

Oleh Mohamad Iman

PUTRAJAYA 13 Ogos - Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah hingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.

 

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

 

"KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

 

Menurut KPM kes berkenaan kini menjadi keutamaan pihaknya.

 

"KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat," menurut kenyataan itu.

 

Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir di Sabah perlu dilakukan secara telus tanpa melindungi sesiapa.

 

Beliau berkata kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, terutamanya memandangkan pelbagai dakwaan yang timbul termasuk mangsa terjatuh, ditolak serta dibuli.

 

Perdana Menteri berkata beliau sendiri telah menghubungi Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan dilaksanakan seadilnya.

 

Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan pada Jumaat lalu, memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

 

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

 

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

 

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas. - DagangNews.com