KUALA LUMPUR 13 Mei – G3 Global Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.41 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), meningkat kira-kira 9,935% berbanding suku sama FY25.
Peningkatan secara ketara ini daripada hanya kerugian RM34,000 pada tempoh yang sama tahun lalu itu, disebabkan penurunan hasil kumpulan di bawah seksyen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Jelasnya, projek rumusan berasaskan kecerdasan buatan (AI) di bawah bahagian tersebut menghampiri fasa penamat, sekali gus menyaksikan baki jumlah yang boleh dibilkan syarikat semakin mengecil.
"Pendapatan turut merosot 88% kepada RM379,000 berbanding RM3.17 juta bagi tempoh sama pada 2025, dan semua hasil disumbangkan sepenuhnya bahagian ICT," maklum G3 Global kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu jelas kumpulan berkenaan, bahagian penjagaan kesihatan didapati tidak mencatatkan sebarang sumbangan hasil sepanjang tempoh tiga bulan berkenaan kepada syarikat tersebut.
Dalam pada itu, dari segi prestasi segmen, bahagian ICT merekodkan kerugian operasi sebanyak RM3.38 juta berbanding keuntungan operasi sebanyak RM9,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Bagi prestasi suku ke suku (QoQ) pula, G3 Global mencatatkan sedikit peningkatan kerugian bersih daripada hanya RM2.87 juta pada suku keempat 2025 (4QFY25) kepada RM3.41 juta pada suku ini.
"Melangkah ke hadapan, Lembaga Pengarah kekal berwaspada terhadap persekitaran ekonomi yang mencabar dan akan terus memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif utama," jelas makluman itu.
Ini termasuk menyiapkan projek ICT utama dan meningkatkan nilai tempahan bagi seksyen ICT, selain meneroka kerjasama dengan pemain industri utama bagi memperluas jejak ICT kumpulan berkenaan.
Di samping itu ujar syarikat tersebut, pihak pengurusan G3 Global juga akan berusaha meningkatkan pelbagai aktiviti pembangunan perniagaan serta melaksanakan langkah korporat untuk mengumpul dana.
Setakat 31 Mac 2026, kedudukan tunai dan baki bank kumpulan itu berada pada tahap RM23.36 juta, dan syarikat tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi tempoh kewangan yang ditinjau. - DagangNews.com








