KUALA LUMPUR 28 Nov – Kerjaya Prospek Group Bhd mengesahkan sedang berunding dengan cabang hartanah Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bagi pembangunan sebuah taman perindustrian berskala besar di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Pengerusi Eksekutif merangkap pemegang saham utama Kerjaya Prospek, Datuk Seri Tee Eng Ho, berkata projek tersebut dijangka dilaksanakan melalui usaha sama (JV) dengan platform hartanah KWAP, iaitu KWEST Sdn Bhd.
“Perbincangan masih berlangsung dan belum dimuktamadkan. Justeru, kami belum dapat berkongsi struktur pegangan JV atau unjuran sumbangan keuntungan,” katanya pada taklimat keputusan suku ketiga kumpulan itu hari ini.
Menurut Eng Ho, taman perindustrian yang dicadangkan itu akan lebih besar daripada projek kediaman konvensional yang pernah dimajukan kumpulan itu.
Kata, usaha ini sejajar dengan permintaan pesat terhadap infrastruktur perindustrian di Batu Kawan – lokasi yang kini menjadi tumpuan pemain multinasional, sektor E&E, logistik serta pengendali pusat data.
Kawasan perindustrian di Batu Kawan terus menarik minat syarikat global, dipacu kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelaburan E&E utama negara.
Permintaan terhadap tanah industri dan fasiliti binaan khas meningkat kukuh, menyebabkan pemaju giat mendapatkan bank tanah strategik.
Kerjaya Prospek, yang sebelum ini menyatakan minat meneroka segmen taman perindustrian, turut menegaskan sebarang projek bergantung kepada akses tanah yang cukup besar untuk memastikan keberdayaan komersial.
Syarikat itu kini mempunyai buku tender bernilai antara RM2 bilion hingga RM3 bilion, sebahagian besarnya membabitkan projek ber-margin tinggi. Melalui usaha sama Samsung-KP, Kerjaya Prospek turut membida projek pembinaan kilang dan pusat data di Malaysia.
Eng Ho menambah kumpulan itu sedang menilai potensi kerja infrastruktur di bawah pembangunan Pulau Andaman di Pulau Pinang, yang dianggarkan bernilai RM2 bilion.
Kerjaya Prospek melaporkan keputusan suku ketiga yang lebih kukuh bagi tempoh berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) dengan keuntungan bersih meningkat 24% kepada RM57.44 juta berbanding RM46.09 juta setahun lalu.
Hasil naik 12.16% kepada RM566.25 juta, dipacu kemajuan projek pembinaan dan bagi 9MFY2025, keuntungan bersih melonjak 35.31% kepada RM157.95 juta, manakala hasil meningkat kepada RM1.58 bilion
Buku pesanan belum siap pula mencecah RM3.6 bilion.
Di pasaran, saham Kerjaya Prospek naik lima sen atau 1.79% kepada RM2.85, menjadikan modal pasaran sebanyak RM3.55 bilion. Kaunter tersebut telah mencatat kenaikan lebih 24% sejak awal tahun.- DagangNews.com








