Kerjasama dengan Mah Sing di Johor kukuhkan kedudukan tunai, perniagaan perindustrian KLK - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama dengan Mah Sing di Johor kukuhkan kedudukan tunai, perniagaan perindustrian KLK - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Dis - Kerjasama strategik (JV) antara Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan Mah Sing Group Bhd bagi membangunkan sebuah taman perindustrian di Kulai, Johor bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan tunai KLK tetapi meningkatkan potensi perniagaan perindustriannya, kata penganalisis pasaran.

 

BIMB Securities berkata, harga pelupusan RM273.9 juta yang dipersetujui berdasarkan prinsip penjual rela, pembeli rela, membayangkan nilai tanah sekitar RM15 sekaki persegi atau kira-kira 12% daripada GDV, sejajar dengan penanda aras semasa bagi pembangunan perindustrian berskala besar di Johor.

 

“Pada pandangan kami, ini merupakan langkah pengewangan tanah ladang yang adil dan berdisiplin, sambil mengekalkan potensi kenaikan nilai melalui pegangan 40% KLK dalam JV tersebut,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Firma itu turut menjangkakan pelupusan tanah berkenaan akan meningkatkan kedudukan tunai KLK dan memberikan sokongan kepada kunci kira-kira kumpulan. Sebarang komitmen modal lanjut daripada penyertaan KLK dalam JV tersebut pula masih tertakluk kepada struktur pembangunan dan pembiayaan muktamad.

 

Dengan baki tunai sekitar RM2.5 bilion dan nisbah gearan bersih kira-kira 0.65 kali, BIMB Research percaya transaksi tersebut tidak akan memberi tekanan ketara kepada kunci kira-kira KLK. Justeru, saranan “pegang” dikekalkan dengan harga sasaran RM21.10 sesaham.

 

Usaha sama KLK-Mah SIng itu susulan pelupusan 419.15 ekar tanah ladang pegangan bebas di Kulai oleh anak syarikat milik penuh KLK, KLK Land Sdn Bhd, pada harga RM273.9 juta. 

 

Tanah berkenaan akan dibangunkan sebagai MS Industrial Park@Kulai dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.26 bilion.

 

Projek tersebut akan dilaksanakan melalui struktur JV 60:40, dengan Mah Sing mengekalkan kawalan pengurusan manakala KLK memegang 40% kepentingan ekuiti. 

 

Langkah ini membolehkan KLK mengewangkan aset tanahnya di Johor, di samping mengekalkan pendedahan kepada potensi pertumbuhan jangka panjang pembangunan perindustrian di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

Sementara itu, MBSB Research berpandangan kerjasama antara KLK dan Mah Sing adalah saling melengkapi serta berpotensi memperkukuh perniagaan perindustrian KLK dalam jangka panjang.

 

Kerjasama tersebut memanfaatkan pegangan tanah KLK yang besar, di samping memanfaatkan keupayaan pembangunan Mah Sing yang terbukti serta ekuiti jenama yang kukuh di Johor.

 

Berdasarkan anggaran kasar menggunakan andaian harga tanah RM15 sekaki persegi, MBSB Research menganggarkan KLK berpotensi merekodkan keuntungan pelupusan bersih sekurang-kurangnya RM131.5 juta selepas mengambil kira kos berkaitan pelupusan, cukai keuntungan harta tanah dan suntikan modal ke dalam syarikat JV baharu.

 

Keuntungan itu bersamaan dengan kira-kira 12.2 sen bagi setiap saham KLK, yang berpotensi meningkatkan nilai kepada pemegang saham sama ada melalui pembayaran dividen khas atau pelaburan semula ke dalam estet brownfield baharu.

 

MBSB Research mengekalkan saranan NEUTRAL ke atas KLK dengan harga sasaran tidak berubah pada RM20.23 sesaham, sambil menyifatkan transaksi tersebut sebagai langkah strategik yang berisiko rendah dan berdisiplin dalam mengitar semula aset tanah kumpulan. - DagangNews.com