Kerjasama dengan Golog, Lembah Wawasan Malaysia berpotensi jadi pemangkin utama Matrix Concepts - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama dengan Golog, Lembah Wawasan Malaysia berpotensi jadi pemangkin utama Matrix Concepts - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Lembah Wawasan Malaysia (MVV) diramal terus menjadi pemangkin utama kepada Matrix Concepts Holdings Berhad terutamanya selepas menjalinkan kerjasama strategik dengan Golog Holdings Sdn Bhd bagi membangunkan Taman Perindustrian Jalan Sutera China-Malaysia.

 

MBSB Research berkata, pembangunan taman perindustrian seluas 250 hektar bernilai RM8 bilion itu akan dibangunkan dalam tiga fasa di MVV TechValley.

 

Katanya, jalinan kerjasama itu akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

 

"Matrix Concepts memiliki 963.9 hektar tanah di MVV 2.0, di mana 404.6 hektar diperuntukkan khusus bagi pembangunan komponen perindustrian MVV TechValley.

 

"Kerjasama dengan Golog, sebuah syarikat logistik dengan kepakaran dalam kecerdasan buatan (AI), automasi dan rantaian sejuk pintar, dijangka memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi di TechValley," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Matrix Concepts, Golog bangunkan taman perindustrian RM8 bilion di Lembah Wawasan Malaysia

 

Firma penyelidikan itu berkata, MVV merupakan projek berskala besar bernilai RM15 bilion dan dijangka mengambil masa 12 tahun untuk siap sepenuhnya, dengan pengiktirafan hasil pertama bermula pada tahun kewangan 2026 (FY26) — terutamanya daripada penjualan tanah.

 

“Gabungan pembangunan MVV City dan projek kediaman di Bandar Sri Sendayan akan terus menyokong prospek pendapatan kumpulan mulai FY26," katanya.

 

MBSB Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.65 sesaham bersamaan diskaun 22% kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV).

 

Katanya, unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 turut dikekalkan, mencerminkan keyakinan terhadap aliran jualan hartanah yang kukuh, khususnya rumah bertanah di Negeri Sembilan.

 

Selain prospek pembangunan yang kukuh, Matrix Concepts turut menawarkan hasil dividen menarik sekitar 5.3%, menjadikannya antara kaunter hartanah berpendapatan dividen terbaik di pasaran.- DagangNews.com