Kerjasama Carsome dan JACCS buka peluang pembiayaan baharu di pasaran automotif Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama Carsome dan JACCS buka peluang pembiayaan baharu di pasaran automotif Malaysia

Gambar/FB CARSOME Malaysia
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Feb - Kumpulan Carsome Inc melalui anak syarikat pembiayaannya, Carsome Capital Sdn Bhd dan Japan Consumer Credit Service Co Ltd (JACCS) bekerjasama memperkenalkan rumusan pembiayaan yang disesuaikan untuk kenderaan di Malaysia.

 

Kerjasama itu menandakan kemasukan JACCS ke dalam pasaran kereta Malaysia.

 

JACCS adalah syarikat kewangan pengguna global dan ahli Kumpulan Kewangan Mitsubishi UFJ.

 

JACCS akan melabur dalam Carsome Capital dan memiliki pegangan sebanyak 49 peratus, manakala baki 51 peratus akan dimiliki oleh Kumpulan Carsome.

 

Kerjasama berkenaan akan menggabungkan kepakaran JACCS yang luas dan sumber antarabangsa dengan ekosistem Carsome Capital serta pengetahuan tempatan, untuk memperkenalkan rumusan pembiayaan yang disesuaikan di Malaysia, dengan tumpuan kepada segmen yang kurang mendapat perhatian.

 

Ia juga akan memudahkan pemindahan pengetahuan untuk mengoptimumkan penilaian risiko, meningkatkan tadbir urus kredit dan melaksanakan amalan terbaik yang menguatkan keberlanjutan kewangan serta prestasi portfolio.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, dengan menggabungkan kepakaran luas JACCS dan ekosistem Carsome, kerjasama itu akan mentakrifkan semula pengalaman pembiayaan pengangkutan, memberdayakan masyarakat dan mendorong pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

 

Presiden dan Pengarah Perwakilan JACCS, Ryo Murakami berkata, syarikat itu telah menilai landskap automotif dan pembiayaan di seluruh Asia Tenggara dan optimis tentang potensi pertumbuhan jangka panjang di rantau ini.

 

"Kami percaya Carsome adalah rakan kongsi yang ideal bagi kami dengan potensi untuk mendorong pertumbuhan dan perubahan di rantau ini, bermula dengan Malaysia dan kemudian ke pasaran Asia Tenggara yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Carsome Capital Malaysia, Nicholas Wong pula berkata, kerjasama tersebut membolehkan pihak-pihak berkenaan terus memberi perkhidmatan kepada pasaran yang belum dilayan dan yang kurang dilayan.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan JACCS untuk memperkenalkan kemampuan dan teknologi tambahan, seperti penilaian kredit berasaskan AI, untuk memperluaskan akses kepada pembiayaan kepada peniaga yang membeli inventori borong daripada kami bagi menyokong perniagaan mereka, serta pelanggan akhir yang mempercayai kenderaan kami," ujarnya.

 

Sejak penubuhannya pada 2018, Carsome Capital telah menyalurkan lebih RM1 bilion pembiayaan untuk menyokong hampir 45,000 transaksi bagi peniaga dan pelanggan akhir Carsome. - DagangNews.com