Kereta mampu milik dan EV terus menjadi pilihan utama pembeli di Malaysia - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kereta mampu milik dan EV terus menjadi pilihan utama pembeli di Malaysia - Maybank IB

Gambar hiasan dari freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - Segmen penjualan kereta mampu milik dijangka mendapat manfaat daripada perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi disokong oleh kenaikan gaji minimum, iaitu RM1,700 pada Februari 2025, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Selain daripada itu, firma penyelidikan itu berkata, segmen kereta mewah mungkin menyaksikan penjualan unit rendah, terutamanya apabila pengguna lebih cenderung membeli model yang lebih mampu milik dan lebih menyukai kenderaan elektrik (EV).

 

Di samping itu, Maybank IB berkata, pemotongan subsidi petrol dan cukai barang bernilai tinggi (HVGT) mungkin boleh menjejaskan permintaan dalam segmen tersebut.

 

Pasaran EV pada 2025 diramal berkembang dengan kadar penggunaan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) masing-masing naik kepada 3% dan 5%, berbanding 2% dan 4% pada 2024.

 

“Pertumbuhan ini akan didorong oleh pelancaran model baharu dan harga yang kompetitif, terutamanya daripada jenama CBU (Completely Built Up).

 

"Dalam pada itu, jumlah infrastruktur pengecasan EV perlu ditambah bagi mencapai sasaran 10,000 pada 2025.

 

"Bagaimanapun, hanya 3,354 pengecas disediakan setakat Oktober 2024, ini menonjolkan jurang dalam pelaburan infrastruktur yang diperlukan untuk memenuhi sasaran," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan JUmlah Volum Industri (TIV) sektor automotif Malaysia meningkat 5% kepada 790,000 unit untuk 2025 disokong oleh disokong oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh kenaikan gaji.

 

Katanya, unjuran semakan ini masih di bawah TIV 2024, yang dijangka mencapai rekod 816,747 unit, menunjukkan pertumbuhan sederhana 2% tahun ke tahun.

 

"Kami kekal "neutral" ke atas sektor automatif Malaysia, dengan Sime Darby dan Bermaz Auto sebagai pilihan utama kami.

 

"Kami menyukai Sime Darby kerana tinjauan positif disokong oleh sumbangan UMW, yang memberikan daya tahan terhadap cabaran dalam segmen industri dan motornya, khususnya di China.

 

"Di samping itu, penjualan kereta Bermaz Auto terutamanya Mazda dan Kia telah stabil, dengan pelancaran Kia Sportage dijangka memacu pertumbuhan.

 

"Pengedaran baharunya, XPeng dan Deepal mampu mengukuhkan portfolio EV kumpulan, meletakkannya untuk bersaing dengan lebih berkesan dengan jenama China baharu yang lain dalam pasaran Malaysia," katanya.

 


Sementara itu, terdapat beberapa risiko yang boleh menjejaskan tinjauan sektor kami, termasuk perubahan mendadak dalam dasar atau hala tuju automotif yang  boleh memberi kesan negatif kepada jualan kenderaan tempatan. - DagangNews.com