Kerajaan umum bantuan tunai segera RM1,000 kepada mangsa banjir Sabah, Sarawak - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan umum bantuan tunai segera RM1,000 kepada mangsa banjir Sabah, Sarawak - PM Anwar

Gambar: Facebook/Bernama Radio

KUALA LUMPUR 31 Jan - Kerajaan hari ini mengumumkan bantuan tunai segera RM1,000 kepada mangsa banjir di Sabah dan Sarawak bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap keluarga yang terjejas akibat banjir, kebakaran, dan tanah runtuh akan menerima bantuan segera itu.

 

Beliau turut mengarahkan agar maklumat berkaitan disegerakan bagi memastikan kelulusan dibuat segera.

 

Kerajaan juga memperuntukkan dana tambahan sehingga RM20 juta atau RM24 juta bagi membaiki kerosakan besar yang berlaku akibat bencana.

 

“Bantuan ini tidak bergantung kepada negeri atau musim tertentu, tetapi atas dasar tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, hari ini.

 

Sementara itu, situasi banjir di Sabah petang ini meningkat dengan keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 5,725 orang setakat 12 tengah hari berbanding 4,990 orang pada 12 tengah malam tadi.

 

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 10 daerah terlibat iaitu Kota Marudu, Tongod; Telupid; Sandakan; Kota Belud; Lahad Datu; Beluran; Paitan; Pitas dan Beaufort.

 

Menurut kenyataan itu, Kota Marudu terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,944 mangsa daripada 1,095 keluarga.

 

Sementara itu, ituasi banjir di Sarawak terus menunjukkan peningkatan dengan jumlah penduduk terjejas kini mencecah 11,904 orang daripada 3,196 keluarga, yang kini berlindung di 59 PPS setakat pukul 12 tengah hari ini.

 

Berdasarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA), antara daerah yang mengalami peningkatan adalah Bintulu, Serian, Samarahan, Selangau, Tatau, Asajaya, dan Simunjan.- DagangNews.com