Kerajaan turunkan kadar premium program Tarif Elektrik Hijau sehingga 80% mulai 1 Julai 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan turunkan kadar premium program Tarif Elektrik Hijau sehingga 80% mulai 1 Julai 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menurunkan kadar premium untuk pengguna program Tarif Elektrik Hijau (GET) sehingga 80 peratus mulai 1 Julai 2025.


Selain itu katanya, kadar tersebut yang sebelum ini diwarta berdasarkan pelbagai kategori pengguna akan digabungkan untuk hanya menjadi 'single tier pricing' atau penetapan harga satu peringkat.


Berdasarkan situasi itu tambahnya, pengguna untuk tempoh setahun menikmati kadar baharu 5 sen setiap kilowatt per jam (kWj) manakala dua tahun cuma membayar 4 sen kWj dan tiga tahun pula 3 sen kWj.


"Mengambil kira ia mungkin melibatkan perubahan struktur dan implikasi kos kepada pelanggan sedia ada, penamatan langganan tanpa penalti diberikan sehingga 31 Ogos 2025," katanya dalam kenyataan. 


Petra sebelum ini menawarkan program GET bagi 2025 melalui tawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600GWj menerusi kadar premium 10sen/kWj untuk pengguna domestik dan bukan domestik dengan voltan rendah.


Sementara pengguna bukan domestik voltan sederhana dan tinggi dikenakan 20sen/kWj sebagai inisiatif kerajaan menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).


Sejak ia diperkenalkan pada 2021, program GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 10,500 GWj tenaga elektrik hijau kepada lebih daripada 3,551 pengguna di Semenanjung dalam pelbagai kategori.


"Bagaimanapun, susulan jadual tarif elektrik baharu berkuatkuasa mulai 1 Julai 2025, Petra meneliti semula program ini dan memutuskan pelaksanaan tertentu dengan penambahbaikan," kata kenyataan itu.


Antaranya kata Petra, pelaksanaan GET bagi 2025, selepas penguatkuasaan tarif elektrik yang baharu tetap diteruskan dengan prinsip asas telah ditetapkan sebelum ini dengan penyesuaian sewajarnya.


Di samping itu, kuantiti langganan GET oleh pengguna yang sebelum ini tidak dikenakan caj imbalance Cost Pass-Through (ICPT) akan kekal dikecualikan daripada mekanisme Automatic Fuel Adjustment.


Kerajaan kata kementerian itu, turut prihatin terhadap saranan serta keperluan pemilik pusat data, pengguna industri dan komersial supaya mekanisme khusus di bawah Program GET dapat diwujudkan.


Ia bagi membolehkan akaun penyewa yang melanggan bekalan elektrik hijau juga mendapat pengiktirafan penggunaan elektrik hijau melalui penyaluran sijil RE dan ditambahbaik menerusi GET Greenpath.


"Program baharu ini akan dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dibuka untuk langganan mulai 1 Ogos 2025 kepada semua pelanggan dengan kriteria tertentu," tambah kenyataan itu. 


Pengguna yang ingin memperbaharui atau melanggan program GET boleh berbuat demikian melalui laman web rasmi TNB atau mengunjungi terus mana-mana Kedai Tenaga TNB yang berhampiran mulai hari ini.


Petra katanya, berharap usaha itu akan memberikan keyakinan kepada syarikat korporat dan industri melakukan perancangan dalam melanggan bekalan elektrik hijau, selain memperkukuhkan kredibiliti GET.


Langkah ini dijangka menyumbang ke arah mempelbagaikan pilihan akses bekalan elektrik hijau yang perlu memenuhi komitmen ESG, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI. - DagangNews.com