KUALA LUMPUR 9 Feb — Kerajaan setakat ini sudah menyalurkan RM9.2 bilion bagi pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau menambah, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 16 pakej kerja berbeza sepanjang laluan yang merangkumi sejauh 318 kilometer dengan dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan pembangunan.
Katanya, fasa itu turut mencapai kira-kira 86.98% kemajuan fizikal, dengan empat pakej daripadanya berjaya disiapkan sepenuhnya dan sudah memberi manfaat kepada ramai pengguna jalan raya di Sabah.
"Bagaimanapun, kos keseluruhan projek Fasa 1A masih bersifat sementara memandangkan kerja pembinaan masih berjalan dan tertakluk kepada arahan perubahan (VO)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Nanta menjelaskan, setakat ini, sebanyak 78 VO sudah diterima dan diluluskan selepas penilaian oleh perunding, wakil tapak serta Jawatankuasa Bersama Sabah berdasarkan keperluan pembangunan semasa.
Sementara itu, Fasa 1B bermula pada 2024 kini mencatat 13.68% kemajuan. Projek Pan Borneo bernilai lebih RM20 bilion ini bertujuan meningkatkan kesalinghubungan di Sabah, Sarawak dan Brunei.

Di Sarawak, semua pakej kerja dilaporkan 99.98% siap setakat Disember 2025, dengan penyempurnaan dijangka pada 2026, namun kemajuan di Sabah lebih mencabar berikutan skala projek yang kompleks.
"Projek di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer dibahagikan kepada 35 pakej kerja, berbanding Sarawak yang hanya terdapat sebanyak 11 pakej bagi Jarak 786 kilometer," kata Nanta.
Kerajaan Persekutuan bagaimanapun jelas beliau, amat komited memantau rapat pelaksanaan projek di Sabah dan Sarawak serta menyasarkan kesemua fasa dapat siap menjelang suku keempat 2028.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Kerja Raya mengemukakan kenyataan keperluan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3).
Jelas Nanta, ia meliputi penyediaan Permintaan Cadangan (RFP) dan projek yang bernilai RM9.8 billion itu melibatkan jarak sejauh 122 kilometer dari Gemuroh, Terengganu ke Tunjong, Kelantan.
"Projek ini akan dilaksanakan menerusi perkongsian awam-swasta secara bidaan kompetitif dan tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan," kata beliau. - DagangNews.com








