Kerajaan semak semula pekeliling tatakelakuan penjawat awam, termasuk had pemilikan saham - JPA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan semak semula pekeliling tatakelakuan penjawat awam, termasuk had pemilikan saham - JPA

KUALA LUMPUR 12 Feb – Kerajaan sedang menyemak semula pekeliling berkaitan tatakelakuan penjawat awam termasuk peraturan pemilikan saham bagi memastikan ia selaras dengan perkembangan semasa pentadbiran, ekonomi, perniagaan dan teknologi.

 

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua entiti kerajaan diwajibkan menyemak pekeliling, peraturan dan garis panduan di bawah bidang kuasa masing-masing setiap tiga tahun selaras dengan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) dan Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2025.

 

Menurut JPA, peraturan yang lapuk atau tidak lagi relevan, khususnya yang telah berkuat kuasa lebih 20 tahun, sedang dikemas kini sebagai sebahagian daripada usaha reformasi birokrasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

 

“Dasar dan peraturan perlu kekal relevan serta mengambil kira keseimbangan antara integriti, keperluan praktikal, ketelusan dan akauntabiliti,” menurut kenyataan itu.

 

Semakan tersebut dibuat susulan polemik berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam Velocity Capital Partner Bhd yang dilaporkan melebihi had ditetapkan.

 

Artikel Berkaitan: Saya memiliki saham Velocity Capital tetapi telah menjualnya pada Julai tahun lalu, kata Azam Baki

 

Artikel Berkaitan: Pekeliling kerajaan tidak nyatakan secara khusus kelulusan KSN bagi pegawai miliki lebih had pegangan saham

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa penjawat awam dibenarkan memiliki saham melebihi had ditetapkan dengan kelulusan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

 

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada pemilikan saham tersebut telah menerima kelulusan.

 

Laporan The Edge pula menyebut bahawa pekeliling sedia ada tidak secara jelas memperuntukkan kuasa kepada KSN untuk meluluskan pengecualian terhadap had pemilikan saham.

 

Berdasarkan Pekeliling 2024, penjawat awam dibenarkan melabur dalam saham, bon atau sekuriti lain tertakluk kepada had berikut:

  • Maksimum 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 (mana yang lebih rendah) bagi syarikat Malaysia;

  • Maksimum 5% daripada modal berbayar bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC);

  • Amanah saham kerajaan tertakluk kepada had ditetapkan kerajaan.

 

Selain itu, pegawai yang mempunyai kaitan langsung dengan sesebuah syarikat – termasuk sebagai ahli lembaga pengarah, pihak yang meluluskan lesen perniagaan, menyediakan perkhidmatan operasi atau menguruskan agihan ekuiti – perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada kementerian atau setiausaha kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pelaburan.

 

Walaupun pekeliling berkenaan tidak menyatakan kuasa pengecualian oleh KSN, ketua jabatan dibenarkan meminta penjelasan tambahan sekiranya pemilikan aset seseorang pegawai didapati tidak sepadan dengan sumber pendapatannya. - DagangNews.com